Thursday, September 30, 2010

CORETANKU 62

BUKAN SENANG BUAT...BACA..TAG..SARAHKAN...ULAS...MACAM2 LAGI BOLEH LAH...TETAPI ADANYA SIFAT2 NI BELUM TENTU...MAHMUDAH TETAPI BUKANNYA MUDAH...



Hayatilah Sifat Mahmudah dan Jauhi Sifat Mazmumah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Asas penting dalam kehidupan seorang Mukmin adalah memiliki asas akhlak Islam yang mantap. Akhlak yang nampak lahir dalam kehidupan adalah berasaskan iman kepada Allah s.w.t. Tanpa iman yang kukuk tidak mungkin seseorang mampu melahirkan akhlak Islam dalam kehidupannya. Sifat mahmudah adalah peribadi seorang Mukmin yang memiliki  akhlak Islam dan ianya lahir daripada satu proses tarbiyah Imaniah.

Adapun sifat-sifat Mahmudah itu ada 10 sifat iaitu:-

1. Taubat - keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa yg telah dilakukan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

2. Takut kepada Allah (taqwa)- Seseorang Mukmin itu apabila dia mengenali Zat Allah melalui sifat-sifat-Nya, maka jiwanya akan mewarisi perasaan takut terhadap Allah s.w.t.

 Firman Allah maksudnya :  “ Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah s.w.t ).”( Surah Ali Imran ayat 102 )

3. Mahabbah (kasih sayang) sesama Mukmin.

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah s.a.w. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari qiyamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."(Hadis Riwayat Tirmizi)

4. Zuhud - mengambil dunia sekadar yang perlu. Di dalam hati tidak ada kecintaan pada kehidupan di dunia.Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia.  Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

5. Sabar. Bersabar dengan ujian dan dugaan daripada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"
(Surah az-Zumar: 10).

 6. Syukur . Melahirkan rasa berterima kasih kepada nikmat Allah s.w.t yang banyak diperolehi.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

7. Ikhlas dan benar. Melaksanakan sesuatu amalan semata-mata kerana Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"

8. Tawakkal - sentiasa berserah diri kepada Allah s.w.t. setelah berazam, seterusnya diikuti dengan usaha.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)."
(Surah al-Thalaq ayat 3).

9. Redha dengan Qadha' dan Qadar.

Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".(Surah  Al-Hadid ayat 22)

Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). " (Surah Yunus ayat 61)

10. Mengingati mati - Merasai hidup di dunia ini adalah sementara dan di hari akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.

Sabda Nabi saw bermaksud ” Sepintar-pintar manusia ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersiap sedia menghadapinya, mereka itulah orang yang bijaksana”.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Berlawanan dengan sifat mahmudah adalah sifat mazmumah (sifat yang dicela). Untuk menjadi seorang Mukmin dan berhajat untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t maka hendaklah kita menjauhi sifat mazmumah. Sifat Mazmumah ialah sifat-sifat yang tidak baik yang dimiliki oleh mereka yang lemah imannya dan sifat yang dibenci oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.

Menurut Imam Ghazali antara sifat2 Mazmumah ialah seperti berikut:

1. Gemar Makan dan Minum:

Hadis Nabi saw maksudnya ” Yang terlebih Afdhal(utama) pada Allah s.w.t ialah orang yg banyak berlapar dan banyak tafakur (berfikir sambil meneliti) Dan yang terlebih benci kepada Allah ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum”.

2. Banyak berkata-kata (yang sia-sia):
Telah menjadi lumrah manusia suka berkata dan membuang masa dengan sia-sia dan tidak mendatangkan faedah.

Firman Allah swt yang bermaksud:“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, melainkan bisikan-bisikan daripada yang menyuruh (manusia) bersedekah, atau berbuat makruf, atau mendamaikan manusia”(Surah AnNisa ayat 114)

3.  Marah:
Sifat marah berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian selalunya  didorong oleh pengaruh Syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya.

Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi s.a.w., "Berilah aku wasiat?."Nabi s.a.w. bersabda: : "Janganlah engkau marah"Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi s.a.w. bersabda : " Janganlah engkau marah"(Hadis Riwayat. Bukhari).

4.  Hasad dengki, dan iri hat:
Sifat di atas lahir  daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: ” Hasad itu memakan (memusnahkan) kebaikan , sebagaimana api memakan (membakar) kayu.”

5. Kasih kepada harta:
Tiada salah memiliki harta dan kemewahan hidup. Tetapi kemewahan yang membawa kepada sifat bakhil , tamak haloba dan juga membazir dibenci oleh Islam.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Tidak akan berkumpul dalam hati seorang hamba bersifat bakhil dan keimanan"

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan". Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"Nabi Muhammad s.a.w.  menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".(Hadis Riwayat Abu Daud) 6. Takbur:Banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu takbur atau sombong diri seperti  nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadat. Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."Salah seorang berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang bagus."Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)

7. Riyak :
Riyak pula ditakrifkan sebagai sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan yang baik dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan. Riak ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah s.a.w. menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.

Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah s.a.w. dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

8. Ujub :
Sifat ujub pula ialah berkait rapat dengan takbur dan riyak. Ujud bererti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi  kecantikan , kepandaian, kekayaan dan lain-lain. Berapa banyak ibadah yang rusak karena penyakit ujub?

Dalam sebuah hadis qudsi disebutkan bahwa seorang lelaki berkata: “Allah tidak akan mengampuni si Fulan! Maka Allah Subhanahu wa Ta’ala pun berfirman:“Siapakah yang lancang bersumpah atas namaKu bahwa Aku tidak mengampuni Fulan?! Sungguh Aku telah mengampuninya dan menghapus amalanmu!” (Hadis Riwayat  Muslim)

9. Kasih akan Dunia:
Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupandan kesenangan  dunia akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati.

Hakikat sebenar kehidupan dunia ini telah digambarkan oleh Allah s.w.t.dalam firmaNya yang bermaksud :" Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak."

Sahabat,
Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki dan menghayati sifat mahmudah dan berusaha pula untuk menjauhkan sifat mazmumah. Orang Mukmin tidak akan mensia-siakan hidupnya di dunia yang sementara ini dengan mempertingkatkan amal solehnya dan berikhtiar semoga seluruh hidupnya mendapat redha Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment