LABIS, 19 Jan: Para petugas PAS dari Pahang terpaksa mengurus dan mengimamkan solat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Felda Tenang yang meninggal dunia semalam apabila imam yang bertugas terpaksa meraikan kedatangan
Perdana Menteri ke tanah rancangan Felda itu.
(Gambar: Cikgu Normala Sudirman mengucapkan takziah kepada balu Allahyarham ketika menziarahi jenazah Setiausaha Umno cawangan Felda Tenang, Abdul Latif Subhi, di masjid Felda Tenang tengahari semalam.)
Abdul Latif Subhi bin Mohd Din, 61, meninggal dunia selepas diserang sakit jantung dan darah tinggi yang melampau selepas menguruskan kedatangan PM ke Felda itu.
Namun, sehingga jenazah beliau selamat dikebumikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sempat menjenguk jenazah beliau walaupun masjid yang menempatkan jenazah itu hanya 50 meter dari padang tempat acara untuk Perdana Menteri diadakan.
"Jenazah itu berada di masjid sejak jam 10 pagi. Ia tidak diziarahi apatah lagi disembahyangkan oleh Presiden Umno yang datang ke situ,"kata seorang saksi kejadian itu pagi semalam.
Allahyarham Abdul Latif adalah bekas MP Tentera Darat dan pagawai Pertahanan Awam adalah pewaris Felda. Beliau meningalkan empat anak dan seorang cucu di samping balunya, Puan Maimunah Hindun.
"Suasana pilu dan terkilan menyelubungi keluarga Allahyarham apabila imam bertugas ada bersama meraikan Najib dan akhirnya jenazah disolatkan oleh sukarelawan PAS daripada Pahang selepas Zohor di masjid itu.
"Inilah akhlak kepimpinan Umno kepada ahlinya sendiri," kata saksi itu ketika menceritakan peristiwa ini.
Najib tiba di Labis dengan helikopter pada 9.30 pagi Selasa semalam. Sejak jam 10 pagi, jenazah Allahyarham ditempatkan di masjid itu untuk membolehkan Perdana Menteri menziarahinya kalau-kalau sempat.
Najib telah melawat Felda Chemplak Barat dan menyempurnakan majlis pelancaran Pusat Jalur Lebar Komuniti dan merasmikan gelanggang futsal di situ sebelum meluangkan masa bersarapan dengan warga peneroka.
Walaupun beliau dan rombongannya melintasi masjid Felda Tenang, tempat jenazah itu ditempatkan sejak jam 10 pagi, ia tidak langsung dipeduli, jauh sekali untuk disolatkan, dijenguk pun tidak sempat.
Sementara itu, Cikgu Normala Sudirman, yang diumumkan oleh PAS akan menjadi calonnya dalam pilihan raya kecil Tenang ini telah menziarahi jenazah Allahyarham jam 1.30 tengahari sebaik sahaja selesai solat Zohor.
Beliau mengucapkan takziah kepada balu Allahyarham dan meminta semua keluarganya bersabar dengan dugaan dari Allah itu.
Berdebatlah Najib, nak lihat Anwar demam
Abdul Aziz Mustafa |
KUALA LUMPUR, 19 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jangan terus menikus kerana rakyat benar-benar ingin melihat beliau mengakibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim demam kerana berdebat dengannya.
"Berdebatlah. Cakap besar dari jauh apa gunanya.
"Kalau betul Najib ada semua maklumat mengenai Anwar dan kalau dia dedahkan, Anwar akan demam, tunggu apa lagi?
"Janganlah menikus tak habis-habis. Sambutlah cabaran Anwar untuk berdebat dan dedahkan semua maklumat itu. Rakyat pun nak tahu juga," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Sebelum itu, ketika berucap kepada para peneroka di Felda Chemplak, Tenang, Najib berkata: "Kenapa saya harus takut berdebat dengannya? Saya adalah perdana menteri. Saya ada semua maklumat. Kalau saya dedahkannya... adoi... dia akan demam".
Mahfuz juga membidas Najib yang menyuruh Anwar menyelesaikan masalah peribadinya sedangkan beliau sendiri tak henti-henti melarikan diri dari masalah peribadinya.
"Tak usahlah menyuruh Anwar menyelesaikan masalah peribadinya kalau diri sendiri tak henti-henti melarikan diri dari masalah peribadi ekoran pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
"Penyiasat diculik, muka yang didakwa sebagai pembunuh sentiasa ditutup dan hari ini tak tahu di mana mereka berada, akhbar-akhbar antarabangsa tuduh terang-terangan Najib terlibat dalam pembunuhan Altantuya tetapi dia tak berani ambil tindakan walaupun dicabar oleh Tengku Razaleigh tetapi terus bersifat bacul melarikan diri dari masalah peribadi," kata Mahfuz.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengingatkan Najib supaya jangan cuba melarikan diri dari membahaskan masalah ekonomi negara dengan bercakap besar kononnya dia boleh mengakibatkan Anwar demam kalau dia mendedahkan isu peribadi Ketua Pembangkang itu.
Beliau mengingatkan Najib bahawa debat di antara beliau dan Anwar bukan isu peribadi tetapi debat tersebut adalah untuk rakyat dan berpaksi kepada isu-isu negara.
Anwar, kata Mahfuz, mengajak Najib berdebat dalam hal dan isu pengurusan negara selepas Najib menghentam program 100 hari Pakatan Rakyat (PR).
"Sebagai Perdana Menteri, Najib harus berani mempertahankan dasar-dasar dan tatacara pentadbirannya di khalayak umum ketika Anwar sendiri bersedia mempertahankan program 100 hari PR yang diburuk-burukkan oleh Najib," katanya.
Mahfuz mempersoalkan, adakah Perdana Menteri tidak tahu membezakan hal ehwal negara dengan isu peribadi?
"Kalau isu peribadi, orang tidak berdebat, malah boleh bersembang kedai kopi sahaja. Susahlah negara kalau Perdana Menteri mempunyai gaya pemikiran yang setahap pemikiran (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk) Ahmad Maslan," katanya.
Isa Samad wajar tarik balik ucapan biadab
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 19 Jan: Tan Sri Isa Samad yang baru sahaja dinobatkan sebagai Pengerusi Felda yang baru kelihatan hilang waras apabila melemparkan kata-kata kesat kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai gila sewaktu berkempen di Tenang, Johor.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan At-Tantawi (gambar) berkata, apa yang diungkap Isa persis ucapan dan tindakan yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah yang gagal menyangkal hujah Nabi s.a.w. ketika mengajak mereka beriman kepada Allah, Tuhan yang Maha Mencipta.
“Inilah sifat jahiliah sepanjang zaman, setelah gagal berhujah lalu mereka akan melemparkan sumpah seranah dan caci maki sekaligus menunjukkan betapa rendahnya keperibadian serta tahap berfikir,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Tambahan pula, katanya ucapan dan kata-kata kesat sedemikian dilemparkan oleh Isa dalam keadaan beliau berada di dalam satu majlis yang sangat jelek.
“Tanpa sedar diri yang sedang bergelumang dosa, lalu ia menuduh liar ke arah orang lain terutama insan seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terkenal dengan ketinggian peribadi dan ilmunya,” katanya.
Justeru, tegasnya Isa Samad wajar menarik balik kata-kata yang celupar dan biadab andai berasa dirinya seorang pemimpin yang baik.
Jika tidak, katanya tentu sahaja rakyat bijak menilai terutamanya masyarakat Felda terhadap tahap keperibadian Isa yang dilihat tidak memaparkan nilai akhlak pemimpin yang bermoral dan terpuji, malah lebih kelihatan seperti gengster berdepan musuhnya.
“Dewan Pemuda PAS sangat kesal dengan pendekatan politik sedemikian, kelihatan seperti mereka sangat terdesak mendepani gelombang yang digerakkan oleh PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat yang diperkaya pula dengan ketinggian budi dan akhlak pemimpinnya,” katanya.
Mustapha sempat sertai konvoi PAS Ganti Umno
Harakahdaily |
DUNGUN, 18 Jan: Hasrat Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan Jalan Lembah, Mustapha Kamal Man, 35, untuk menyertai konvoi bermotosikal Pemuda Dun Sura ke Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno di Dataran Tok Guru, Kampung Geliga, Kemaman pada 15 Januari lalu tercapai sebelum meninggal dunia di kediaman ibunya pagi tadi.
Menurut blog Pemuda Bersamamu, allahyarham yang juga Ahli Jawatankuasa Keselamatan Dun Sura itu meluahkan kesungguhan untuk menyertai konvoi tersebut ketika mendaftar diri bersama rakan-rakan di Cawangan Jalan Lembah baru-baru ini.
Beliau yang bekerja kontrak di sebuah bengkel perabot di Jalan Abdul Jalil, di sini meninggalkan isteri, Che Wan Aniza Che Wan Rani, 30, dan tiga orang anak yang masih kecil iaitu Mohamad Shahrizal, 6, Siti Nur Aishah, 5, dan Siti Nur Athirah, 3 tahun.
Anak sulung dan kedua beliau merupakan pelajar Pasti As-Syakirin, Tanah Lot.
Jenazah allahyarham disembahyangkan di Surau Tuan Guru Haji Abdul Jalil, Jalan Lembah selepas solat zohor yang turut disertai Adun Sura yang juga Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Wan Hassan Ramli dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syed Yahya, Jalan Nibong kira-kira jam 2.15 petang.
Allahyarham sekeluarga menetap bersama ibunya di Kampung Sungai Buaya yang juga penerima bantuan zakat dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Namun sejak kemenangan PAS di Dun Sura pada 2008, ibu beliau itu telah mula dinafikan hak daripada menerima bantuan tersebut akibat campurtangan politik pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan keaktifan allahyarham dalam gerak kerja parti.
[Gambar: Anak sulung Allahyarham (berbaju merah tanpa songkok) pada pengebumian bapanya.]
Pemuda PAS Dun Sura mengharapkan sedikit bantuan atau sumbangan daripada orang ramai untuk meringankan beban keluarga allahyarham dalam membesarkan tiga orang anak yang masih kecil.
Semoga anak-anak allahyarham dibesarkan menjadi insan yang memperjuangkan agama Allah sepertimana yang telah diperjuangkankan oleh bapa mereka.
Sebarang bentuk sumbangan bolehlah diserahkan dengan menghubungi Ketua Pemuda PAS Cawangan Jalan Lembah, Ridhuan Mohd Noor (012-9665536) atau Ketua Kebajikan Pemuda PAS Dun Sura, Shaikh Salmin (013-9328211).
Pihak Pemuda PAS Dun Sura mengucapkan takziah kepada isteri dan keluarga allahyarham serta mendoakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan diberi pengampunan dan diredhai-Nya.
Forum Bersih di Kota Bharu 21 Jan
Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU, 18 Jan: Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) akan menganjurkan forum sempena ‘Road Show Bersih’ ke Kelantan pada 21 Januari ini bertempat di Balai Islam, Lundang.
Kelantan merupakan negeri ketiga penganjuran program itu dalam usaha untuk membawa suara rakyat agar SPR berlaku adil dan telus serta tidak mengikut kehendak mana-mana kepentingan parti.
Pengerusi Jawatankuasanya, Dr Abdul Halim Yusof, berkata tiga panelis forum akan mengambil bahagian, AJK Pusat Bersih, Dr Koh Kin Woon, Profr Dr Abdul Aziz Bari dan anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.
Katanya lagi, memandangkan pilihan raya medan untuk rakyat memilih wakil mereka bagi mentadbir negara, segala sistem dan proses dalam pilihan raya perlu mengikut peraturan undang-undang serta bersesuaian dengan kehendak mereka.
“Saya menyeru orang ramai hadir pada program forum ini untuk menyatakan hasrat kita pada SPR khususnya.
“Ianya amat penting untuk menyatakan hasrat kita pada SPR agar menjalankan kewajipannya sebaik mungkin tanpa dipengaruhi oleh parti pemerintah dan kerajaan juga diingat jangan mencampuri urusan SPR,” ujarnya lagi.
Kata Halim lagi, pihaknya percaya hanya pilihan raya kecil dan adil sahaja warganegara mampu mengenalpasti hala tuju mereka dan negara.
Pada sidang media itu juga, beliau sekali lagi menyuarakan 11 tuntutan Bersih antara lain penggunaan dakwat kekal bagi menghalang pengundian berganda serta menghapuskan pengundian pos.
Selain itu katanya, tempoh kempen minimum 21 hari, amalan yang adil dalam persempadanan kawasan, pendaftaran automatik untuk semua pengundi yang layak dan lain-lain lagi. |
|
|
|
|
No comments:
Post a Comment