Saturday, April 30, 2011

CORETANKU 438


HADIS 23 

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah

bersabda:

Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur'an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.

Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Pokok Perbincangan Hadis :

1. Kebersihan sebahagian iman : (pendapat ulama’)
a) pahala pada kebersihan - berganda sehingga separuh pahala iman.
b) yang dikehendaki ialah meninggalkan perkara dosa dan maksiat (an-Nahl: 56).
Yang dimaksudkan di sini ialah wudhu’.

c) bersih dari hadas besar dan kecil samada dengan air atau tayammun, dan yang dikehendaki

iman itu ialah solat.

d) yang dimaksudkan dengan bersih itu ialah wudhu’ - menghapuskan dosa-dosa kecil.

2. Galakkan mengingati Allah ;

Pengajaran hadis:

(1) lslam amat menitikberatkan soal kebersihan, sehingga menganggapnya sebahagian daripada lman.

(2) Semua amalan soleh merupakan kebaikan dan keindahan bagi seorang mukmin dan mempunyai nilai yang tinggi. Ada amalan yang menjadi hujah baginya, ada yang menjadi cahaya baginya, ada yang menjadi pemberat mizannya dan sebagainya.

(3) Setiap manusia dalam kegiatan hariannya mendedahkan dirinya sama ada kepada kebaikan atau kecelakaan. Ada yang menjual dirinya kepada Allah, lalu beroleh kebaikan dan kejayaan dan pula ada yang menjual dirinya kepada syaitan lalu beroleh kecelakaan.

 
HADIS 24 


Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a. daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh

Baginda daripada Allah SWT bahawa Dia berfirman:

Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi.

Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua sesat kecuali orang yang Aku hidayatkannya, maka hendaklah

kamu meminta hidayat dariKu.

Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka hendaklah 


kamu meminta makan daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu makan.

Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikannya pakaian, maka

hendaklah kamu meminta pakaian daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu pakaian.

Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya kamu bersalah siang dan malam dan Aku mengampunkan

semua dosa, maka mintalah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan kamu.

Wahai hamba-hambaKu! Selama-lamanya kamu tidak akan mampu memudharatkan Aku sehingga

kamu boleh memudharatkan Aku.

Wahai hamba-hambaKu! Dan selama-lamanya kamu tidak akan mampu memberi manfaat kepada Aku

sehingga kamu boleh memberi manfaat kepada Aku.

Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu.

Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia

dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu.

Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalangan mereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum.

Wahai hamba-hambaKu! Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri.

Hadis qudsi ini mempunyai banyak pengajaran antaranya:

(1) Zalim adalah suatu sifat keji yang diharamkan Allah SWT ke atas diriNya dan ke atas hamba- hambaNya. Barangsiapa yang melakukan kezaliman bererti dia telah melampaui batasan yang digariskan oleh Allah SWT.

(2) Semua hamba adalah berhajat dan bergantung penuh kepada kurniaan dan kemurahan Allah SWT. Dialah Tuhan yang memberikan petunjuk, memberikan rezeki, memberi pakaian dan Dia juga Tuhan Yang Maha Pengampun segala dosa hamba-hambaNya. Sesungguhnya rahmat Allah sentiasa mendahului murkaNya.

(3) Segala permohonan hendaklah hanya diajukan kepada Allah SWT, sama ada permohonan meminta

hidayah, rezeki, makanan dan pakaian juga permohonan agar diampunkan segala dosa.

(4) Sesungguhnya Allah SWT Maha Gagah Perkasa. Manusia sekali-kali tidak mampu

memberikanNya manfaat dan mudharat. 


(5) Segala perbuatan manusia sama ada ketaqwaan atau kejahatan, walaupun pada tahap yang paling maksimum dan paling dahsyat, semuanya tidak akan menambah atau menjejaskan kedudukan Allah SWT walaupun sedikit.

(6) Segala kurniaan Allah kepada seluruh manusia dan jin, biar betapa banyak sekalipun, ia tidak akan mengurangkan apa yang dimilikiNya walaupun sedikit. la hanya umpama air yang terlekat pada sebatang jarum kerdil yang dijunamkan ke lautan luas.

(7) Setiap amalan manusia akan dihitung satu persatu oleh Allah SWT dan Dialah yang akan

menyempurnakan pembalasannya, sama ada balasan baik mahupun buruk.

No comments:

Post a Comment