Wednesday, February 2, 2011

CORETANKU 323

JANGAN BANYAK CAKAP...MACAM HEBAT SANGAT...MENANG ATAS TIKET PARTI BUKAN ATAS NAMA...JANGAN BUAT TAK TAHU...KENA ADA MALU..BARU BERAKHLAK

PAS minta Gobala tinggalkan Padang Serai
Mohd Sabri Said
PADANG SERAI, 2 Feb: Walaupun N Gobalakrishnan keluar dari PKR, namun bagi pemimpin PAS kawasan anggota Parlimen Padang Serai itu sudah keluar dari Pakatan Rakyat dan perlu melepaskan jawatannya sebagai anggota Parlimen.

Mereka meminta Gobalakrisnan 'nyah' dari Padang Serai dengan meletakan jawatan dan memberi mandat kepada rakyat memilih seorang ahli Parlimen yang benar-benar bertanggungjawab dan beretika.

Yang Dipertua PAS Padang Serai, Fauzi Tahir menyifatkan, penyertaan Gobalakrisnan ke bebas menyusahkan rakyat yang telah memberinya kemenangan atas tiket Pakatan Rakyat yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Bukan masa untuk bermain dalam politik sebaliknya nyah dari Padang Serai kerana kami dan rakyat yang prihatin tidak mahu melihat mukanya lagi ekoran sikapnya mengkhianat perjuangan, " jelasnya.

Beliau patut sedar dengan kedudukan tinggi itu semua merupakan hasil kepercayaan rakyat yang telah menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke 12 lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Padang Serai, Abu Tolib Yahaya pula berkata, Gobalakrisnan wajar letak jawatan atau menghadapi tekanan yang lebih dahsyat menerusi demontrasi aman nanti.

Rakyat sangat marah kerana tindakan itu merosakan imej Pakatan Rakyat ketika menghadapi pilihanraya umum ke 13 nanti.

"Pemuda PAS terpaksa mengadakan demontrasi aman bersama PKR dan DAP kerana tidak mahu seorang ahli Parlimen yang suka melompat tetapi mahukan seorang pejuang yang kuat dan teguh walaupun apa juga rintangan yang dihadapi, " tegasnya.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Lunas, Haji Derani Wahab pula berkata, sewaktu Adun Lunas Radzi Salleh letak jawatan Gobalakrisnan adalah orang pertama menganjurkan ceramah menghentam tindakan Radzi tetapi kali ini beliau pula menuruti langkah yang serupa.

"Gobalakrisnan akan menghadapi gelombang rakyat yang memarahinya dan besar kemungkinan satu tindakan membantah langkahnya itu akan berkumandang. Kita tidak boleh sekat kerana itu adalah hak rakyat yang memberinya kemenangan, " tambahnya.

Sementara itu bekas Yang Dipertua PAS Padang Serai, Ustaz Azmi Abdullah mengingatkan, Gobalakrisnan agar lepaskan jawatan ahli Parlimen untuk diadakan pilihanraya kecil segera.

Bukan membiarkan parlimen ini diwakili oleh Ahli Parlimen Bebas yang akan melupakan tanggungjawabnya terhadap rakyat setelah kecewa dengan sikap parti yang disertainya.

Beliau juga harus sedar jelasnya, kedatangan Gobalakrisnan dulu hanya sehelai sepinggang dan PAS bekerja bersungguh-sungguh memastikan kemenangan.

"Saya sewaktu itu merupakan orang yang bertanggungjawab penuh memperkenalkan Gobalakrisnan dan membawanya ke semua lokasi berjumpa rakyat amat kecewa dan berharap beliau lepaskan jawatan Ahli Parlimen kerana kami tidak mahu melihat kelibatnya lagi di Padang Serai, " tegasnya yang lebih dikenali sebagai 'Ustaz topi merah'.

Kerajaan digesa rombak semula KPWKM
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 14 Dis: Wanita Pakatan Rakyat mencadangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di bawah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dirombak dan dibuat pembaharuan semula.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin berkata, Kementerian berkenaan gagal menunjukkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang baik apabila gagal menjawab isu berkenaan wanita di Dewan Rakyat dengan baik.

"Setelah mendengar jawapan dari Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini, kami berasa sungguh kecewa kerana jelas selama ini Datuk Shahrizat telah mengecewakan bukan sahaja wanita-wanita di Malaysia tetapi juga telah melambatkan pembangunan negara," katanya ketika membacakan kenyataan bersama di lobi parlimen siang tadi.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh beliau, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan.

Mereka juag menyifatkan Shahrizat sebagai Menteri yang ketandusan idea dan lemah kemahuan politik untuk melonjakkan wanita sebagai unsur penting dalam pembinaan negara.

Kerajaan Persekutuan juga didapati kurang bertindak balas terhadap kelembapan perkembangan wanita, keluarga dan masyarakat di negara ini.

Kenyataan itu dibuat berikutan rasa tidak puas hati terhadap Shahrizat pagi tadi yang tidak menjawab persoalan yang diutarakan mereka dalam sesi perbahasan Kementerian berkenaan di Dewan Rakyat sebelum ini.

Kenyataan yang dibacakan Zuaida itu juga menyebut bahawa Shahrizat seharusnya meminta peruntukan yang lebih besar lagi bagi membantu Kerajaan Malaysia dalam membangunkan negara melalui pembinaan wanita itu sendiri.

"Apa yang kami rumuskan dari jawapan beliau, jelas beliau sambil lewa dalam pemantauan 'cross-cutting budget' dari 'gender-responsive budgeting' yang kononnya diamalkan oleh KPWKM. Hasilnya, pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat masih di takuk lama,"katanya.

Wanita Pakatan juga menyeru agar KPWKM beralih dari konsep kebajikan yang telahpun diamalkan di negara ini sejak beberapa dekad dan memulakan proses pemikiran yang lebih matang bagi menjuarai tekad wanita Malaysia bergerak aktif menyumbang ke arah pembinaan negara.

"Kerajaan Malaysia perlu menunjukkan sokongan dan memandang serius perkara ini agar KPWKM lebih diberdayakan untuk membangunkan wanita, keluarga dan masyarakat di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali kesal apabila soalan-soalan beliau tidak dijawab dengan baik oleh Shahrizat malah ada sebahagiannya langsung tidak disentuh meskipun Speaker telah memberikan peluang sepenuhnya kepada wakil wanita untuk berbahas.

Menurut Lo' Lo', sebanyak 700 nama ibu tunggal di Titiwangsa yang diperoleh semasa program himpunan ibu tunggal pada Oktober tahun lalu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat wilayah pada Mei lalu.

Namun daripada senarai nama tersebut, hanya 61 orang sahaja yang dikatakan telah mendapat bantuan. Bagaimanapun, beliau difahamkan sebahagiannya telah dipaggil dalam satu Program Pembangunan Masyarakat Kawasan Parlimen (MAYANG).

Sehubungan itu, beliau ingin tahu perkembangan permohonan yang dihantar itu serta individu yang terlibat dalam program MAYANG di kawasanya serta locus standi mereka dalam menganggtai MAYANG.
Namun Shahrizat tidak menjawab persoalan itu pagi tadi.

Selain itu, soalan beliau berhubung dana yang digunakan unuk program Skuad Sayang Wanita Umno juga tidak dapat dijawab oleh Shahrizat.

Shahrizat baru-baru ini menghadiri Majlis Jalinan Rakyat Skuad Sayang Pergerakan Wnita Umno di Balai Raya Kampung Janda Baik, Pahang. Beliau menyampaikan bantuan selimut dan beg sekolah kepada 158 penduduk kampung.

"Adakah Menteri turun ke kampung tersebut sebagai Wanita Umno ataupun di bawah Kementeriannya? Apabila saya bertanya soalan ini, Menteri berlakon seperti ini adalah persoalan yang baru.Respon Kementerian ini lebih teruk daripada Kementerian-kementerian yang lain," katanya.

Shahrizat pagi tadi mengelak daripada menjawab beberapa perkara, sebaliknya berkata, soalan-saoan itu kan dijawab secara bertulis. Hal ini menyebabakan beberapa wakil wanita Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dan keadaan dalam dewan menjadi tegang seketika.



Kerajaan jangan berlengah pindah pelajar di Mesir
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 2 Feb: PAS menggesa kerajaan Malaysia tidak lagi berlengah dalam usaha membawa pulang pelajar Malaysia dari Mesir yang kini sedang bergolak.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Perdana Menteri bahawa mahu 'menimbang' menggunakan kapal serba guna Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden, Asia Barat untuk operasi pemindahan, masih lagi lambat sedangkan keadaan di Mesir semakin buruk.
"Kita kecewa kerana Najib lambat membuat keputusan, baru nak timbang guna kapal.
"Apa salahnya hantar kapal terbang pegi sana, lapangan terbang Kaherah masih boleh diguna, buat macam Indonesia.
"Ataupun guna dua-dua kaedah, yang dekat dengan pelabuhan guna kapal, yang dekat dengan lapangan terbang guna kapal terbang," katanya.
Datuk Seri Najib semalam memberitahu kapal TLDM terbabit akan diguna untuk memindahkan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.
Kapal serbaguna TLDM terbabit, KD Bunga Mas kini terlibat di dalam operasi anti-lanun di Teluk Aden.
Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 10,000 pelajar Malaysia berada di Mesir.
Mahfuz turut melahirkan rasa kecewa apabila Najib membangkitkan isu kos yang tinggi jika menggunakan pesawat bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir.
"Namun apa yang paling kita kecewa, bila Najib bangkitkan isu kos mahal nak bawa pulang dengan kapal terbang.
"Ini bukan soal kos, ini soal nyawa pelajar kita, tak patut seorang perdana menteri berkira soal wang ringgit untuk selamatkan nyawa rakyat sendiri," katanya.
Keadaan Mesir kini semakin meruncing berikutan demonstrasi yang diadakan oleh rakyatnya bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur.


Kuasa siber dan revolusi Timur Tengah
Ahmad Lutfi Othman
Ketika banyak pihak bercakap soal pengaruh dan kuasa media baru dalam proses kebangkitan rakyat di Timur Tengah sekarang ini, sekonyong-konyong Kementerian dalam Negeri mengumumkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) akan dijadikan lebih komprehensif dan tidak lagi terhad kepada bahan cetak semata-mata.

Ketua Setiausahanya, Mahmood Adam berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu untuk membolehkan ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian. Difahamkan pindaan akta itu dijangka dibentang di Parlimen menjelang sidang Mac ini. Ramai mengaitkan dengan persiapan BN menghadapi pilihan raya umum ketiga.

Reaksi segera sudah dapat diduga. Tanpa bertangguh bantahan dirakamkan. Masing-masing terkejut. Regim Dr Mahathir Mohamad memang terkenal dengan ciri-ciri autoritarian, namun bekas Perdana Menteri itu -- yang juga seorang blogger terkenal -- seringkali menegaskan tidak akan mengamalkan tapisan dan sekatan kepada internet.

Apakah anak didiknya, Najib Razak, lebih terdesak dan terhimpit sehingga mahu bertindak garang dan ganas? Kedudukan Umno-BN bagai telur di hujung tanduk, namun jika benar AMCP mahu diluaskan skop dan bidang kawal selianya, terutama terhadap kandungan internet, Najib sebenarnya sengaja mengundang parah, yang mungkin natijahnya tidak pernah terfikir olehnya.

Sejak mengetuai Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) lebih kurang sepuluh tahun lalu, bagi mempromosi kebebasan akhbar, saya akui kesukaran yang dihadapi, terutama bagi meraih sokongan dan simpati masyarakat. Ramai yang masih tidak peduli dengan isu-isu sekatan dan kongkongan melampau terhadap media, termasuk golongan wartawan sendiri. Mungkin mereka menyifatkan tekanan pemerintah terhadap media bebas tiada kaitan dengan kualiti hidup rakyat terbanyak.

Beberapa penerbitan berkala yang saya usahakan -- dengan menyewa permitnya daripada rakan-rakan -- diharamkan KDN tanpa sebarang alasan, tanpa sempat mencecah usia setahun. Majalah dua kali sebulan, Detik dan makalah bulanan khas untuk remaja wanita, Wasilah tidak disambung permit menyebabkan lebih 15 kakitangan syarikat Penerbitan Pemuda menganggur secara tiba-tiba. Pengedaran akhbar mingguan, Cabaran, yang juga saya sewa permitnya, diganggu secara intensif oleh KDN sehingga terpaksa ditutup.

Tidak cukup dengan memorandam dan surat bantahan dikemukakan, berulang kali saya naik-turun ibu pejabat Suhakam mengadu hal, selain mengedarkan risalah, kenyataan akhbar dan menghadiri forum terbuka, namun ia tidak cukup untuk menarik perhatian masyarakat. Gimik terakhir sebelum saya menutup pejabat operasi di Medan Idaman, Gombak adalah dengan mengusung keranda Detik sebelum cuba mengusahakan siri penerbitan akhbar tidak berkala, yang mendapat tekanan lebih hebat daripada KDN.

Saya hanya seorang individu kerdil berdepan gergasi KDN. Justeru, terpaksalah saya secara solo bertembung musibah itu, di samping menanggung kerugian lebih RM3 juta.

Tetapi, bagaimana dengan kes pengurangan kekerapan penerbitan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, bermula Mac 2000, selepas Umno terkejut besar dengan prestasinya dalam PRU November 1999? Rasanya respons yang ditunjukkan masyarakat, termasuk pembaca Harakah, juga agak dingin. Mungkin Dr Mahathir sendiri terkejut dengan reaksi "suam-suam kuku" penyokong Barisan Alternatif waktu itu!

Namun, berdepan langkah primitif-jumud pemerintahan Najib kali ini, suasana pasti berbeda. Meskipun butiran pindaan AMCP belum dijelaskan, apa juga yang berkaitan akta preventif adalah bersikap mengongkong dan menyekat semata-mata. (Kini kira-kira 35 undang-undang yang menyekat kebebasan di Malaysia). Motifnya hanya tertumpu untuk menyelamatkan kedudukan Umno-BN, juga mengikat-kuat seteru politiknya dan golongan yang dilihat berbeda pandangan. Proses pendemokrasian sejagat yang turut melanda negara kita terbantut.

Najib bukan lagi menjolok sarang tebuan, malah mempercepatkan "saat-saat kematian" kerajaan BN. Pembaca Detik atau Suara Keadilan mungkin tidak mengamuk apabila media tradisi itu diharamkan KDN, tetapi bagaimana dengan peminat laman-laman web bebas seperti Malaysiakini, Harakahdaily, Malaysian Insider atau Tranungkite, dan tidak terkecuali 700,000 blogger yang semakin galak menulis apa yang terfikir di minda mereka, atau lebih tepat lagi lebih 9.9 juta pengguna Facebook di Malaysia? Terdapat 16.9 juta pengguna internet di negara ini, merujuk laporan Jun 2009.

Sekatan kali ini adalah operasi rampasan hak asasi besar-besaran, dan tidak lagi khusus kepada mereka yang dilihat berkepentingan politik. Sekalipun pindaan AMCP itu mungkin dikhususkan kepada kandungan internet yang "politikal", ia tetap menyentuh sensitiviti jutaan rakyat yang kini bebas mengakses dunia maya. Saya yakin majoriti rakyat tidak dapat menerimanya dan mudah berang, sekali gus boleh memenuhi protes di jalan-jalan raya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang pernah menggesa agar AMCP dimansuhkan, memberi reaksi: "Mereka ini (8 juta anak muda pengguna Facebook berusia 35 tahun ke bawah) pastinya tersinggung dan tidak dapat menerima pindaan yang mengongkong saluran media dan rangkaian sosial yang sudah menjadi seperti sebati dengan mereka. Janganlah kita bersifat jumud dan mengambil jalan mudah dengan mengetatkan kekangan serta mengeluarkan undang-undang apatah lagi apabila masyarakat semakin bijak dan matang."

Mengulas isu sama, Ketua Pengarang kumpulan dan pengasas bersama Malaysiakini, Stevan Gan menyifatkan pindaan itu ibarat pukulan paku terakhir di keranda bagi kebebasan media di negara ini. "Kebebasan meluahkan pendapat yang serba terbatas dinikmati di alam maya sejak 16 tahun lalu bakal berkubur. Dengan perlesenan, kerajaan boleh mengenakan tekanan politik ke atas media di internet. Paling menggerunkan, Menteri Dalam Negeri yang sebegitu berkuasa itu berhak mengisyitiharkan mana-mana lamanweb sebagai tapak haram. Lebih malang lagi, mengikut akta itu, keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah."

Sewaktu rakyat kecewa dengan jaminan tidak tertunai menterinya, Hishammuddin Hussein untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Polis, pada sesi Parlimen, Oktober 2009 -- seperti dijanjikan dalam sidang akhbar di Putrajaya pada 19 Ogos 2009 -- tiba-tiba kita dikejutkan dengan langkah represif yang begitu ketinggalan zaman.


II.

Seorang pembaca Harakah yang mahu dikenali dengan panggilan "Makcik Kedah", dari Taman Melati, Hulu Kelang, agak lama tidak menghubungi saya. Selalunya, ada-ada saja idea baru yang dilontarkan. Kadang-kadang beliau menyanyikan lagu-lagu patriotik melalui telefon dan bercerita tentang kisah lamanya di Bukit Besar. Pandangan beliau terhadap pergolakan politik ada kalanya tak terfikir oleh saya. Isu yang dikemukakan merakyat sifatnya.

Hari itu, ketika saya mendapatkan rawatan susulan selama tiga hari di wad HUKM, Makcik Kedah menelefon. Dia nampak cukup berminat dengan perkembangan Revolusi Jasmin di Tunisia yang berjaya menghalau Presiden Zine El Abidin Ben Ali, 74. Diktator yang berkuasa selama 23 tahun itu melarikan diri ke Jeddah.

Isterinya, Leila Trabelsi, 53, yang dilatih suaminya sebagai pengganti Ben Ali, terbang ke Dubai dengan jet peribadi -- yang disifatkan rakyatnya sebagai "shopping plane" -- sambil membawa bersamanya wang dan satu setengah tan emas daripada bank pusat, manakala anak-anak mereka ke England. Dalam siri demonstrasi, penunjuk perasaan dilaporkan memekik: "Gantung mereka semua, tapi dapatkan balik emas milik kita dahulu!"

Seperti beberapa panggilan sebelum itu, Makcik Kedah mahu kepastian apakah senario di Tunisia itu mungkin juga berlaku di Malaysia? Saya ketawa kecil, bukan dengan niat mempersenda. Bagaimanapun beliau serius menekan: "Apakah tidak cukup dengan kesengsaraan yang kita tanggung? Rakyat makin susah, nak makan ikan sebesar dua jari pun tak mampu, ramai menderita tetapi orang besar kaya raya, makan rasuah?"

"Patutnya pemimpin kita yang berada di atas sana, turun ke bawah, melawat orang miskin yang semakin ramai. Kita ni, sampai masanya, rimas duduk fikir nak cari duit baharui insuran dan cukai jalan kereta, macamana nak selesaikan bil-bil bulanan, keperluan anak sekolah," asaknya lagi.

"Tapi sekarang dah ramai yang senang dan mewah makcik," saya memintasnya. "Kerajaan pula pandai main sentimen untuk lupakan masalah sebenar. Kerja pun masih ada, tak macam di Tunisia, ramai anak muda menganggur. Di Iskandariah, jurang kaya miskin menonjol sangat. Pasaraya di sini masih sendat dengan pelanggan. Tapi janganlah tunggu negara kita jadi macam di sana baru nak lawan ...," tambah saya, menunggu reaksinya. "Betul juga tu, kawan-kawan makcik yang dapat pencen bulan-bulan dekat RM1000, memang nampak macam selesa aja," akuinya.

Selang beberapa hari, Makcik Kedah mengirimkan SMS: "Nak tunggu kebulur baru nak bangkit? Ada stamina ka kita nak lawan kerajaan zalim ini?" Sampai kini saya belum menjawabnya. Mungkin beliau lebih teruja mendengar berita kemarahan rakyat terhadap pemerintahan kuku besi sudah melimpah ke Sanaa, Yemen, mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan setelah memegang kuasa sejak 1978.

Bertambah semangat rasanya Makcik Kedah, apabila aksi protes antiregim zalim menuntut Presiden Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun berundur, bukan saja tercetus di Kaherah dan Iskandariah tetapi juga merebak ke bandar-bandar lainnya, seperti Suez, 134 km daripada situ. Ribuan penunjuk perasaan ditahan termasuk pemimpin Ikhwan Muslimin. Bilangan yang terbunuh semasa demonstrasi juga semakin meningkat dengan pantas.

Kejatuhan Ben Ali, yang bakal diikuti Mubarak, bukan sahaja menggerunkan regim lain di dunia Arab -- tidak kira sama ada yang mengamalkan sistem monarki atau republik, bermusuh atau bersahabat dengan Israel -- malah memberi isyarat jelas bahawa proses transformasi ini akan menjalar ke peringkat global, terutama di negara-negara Islam.

Bagaimanapun, bagi saya, pemimpin yang mahu menawarkan perubahan, yang berdepan penguasa zalim dan menindas, semuanya harus dekat dengan nurani rakyat, merasai denyut degup jantung mereka, bukan turut dilihat bermewah-mewah dan berseronok dengan kehidupan elitis. Memang suasana di setiap negara berbeda-beda dan tidak memerlukan keadaan menjadi seteruk rantau Arab untuk berlakunya pertukaran regim, 'kan?

Kejayaan mengkagumkan revolusi di Tunisia dalam masa 24 jam dan kini dilihat menjalar ke Mesir juga mengingatkan tentang pengaruh dunia maya atau kuasa siber, yang juga digeruni di Malaysia. Di Mesir, akses internet disekat dan panggilan telefon disekat. Operasi stesen TV Al-Jazeera turut diarah tutup. Jaringan laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang cukup berkesan membangkitkan amarah rakyat tertindas di negara tersebut dihalang.

Jika Mubarak berjaya digulingkan dan pemerintahan yang "benar-benar baru" muncul di Kaherah, pengaruhnya ke atas masyarakat Islam di Malaysia tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi jika pemimpin yang dikaitkan dengan Ikhwan Muslimin bakal memainkan peranan penting dalam kerajaan Mesir nanti.




Abd Shukur: Ikhwan dipelawa sertai kerajaan baru
Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com
Pertubuhan Ikhwanul-Muslimin (Ikhwan) Mesir yang berpengaruh itu dipelawa untuk menyertai kerajaan baru Mesir selepas tergulingnya rejim diktator Hosni Mubarak.

Ini dibayangkan oleh Ketua Pembangkang Mesir, Muhamad El-Baradei dalam temuramahnya dengan wartawan CNN, Fareed Zakaria beberapa hari lalu, di tengah-tengah pemberontakan rakyat Mesir yang menuntut rejim Hosni Mubarak meletakkan jawatan.

“Mereka (Ikhwanul Muslimin) adalah orang baik,” katanya, “mereka terpelajar, patriotik, berakhlak baik dan mereka adalah rakyat Mesir yang setia.”

El-Baradei yang kini dalam tahanan rumah ditanya pandangannya adakah Ikhwanul Muslimin itu sama seperti kumpulan militant Al-Qaeeda, kumpulan militant yang lain seperti di Iran dan di tempat lain. Beliau menjawab, “sama sekali tidak, mereka rakyat Mesir yang patriotik, terpelajar.”

Tokoh yang mendapat Hadiah Nobel Keamanan kerana peranannya sebagai Pengarah Agensi Kuasa Nuklear Bangsa-Bangsa Bersatu itu menyatakan kesediaannya untuk memimpin kerajaan baru Mesir jika rakyat mahukan khidmatnya walapun beliau kini ada tugas lain.

“Bagi saya sudah tentu Ikhwan akan dipelawa menyertai kerajaan baru Mesir kerana jamaah Islam itu sangat berpengaruh, orang baik dan terpelajar,” katanya lagi.

Sekiranya kerajaan baru Mesir pimpinan El-Baradei itu menyertakan sekali jamaah Ikhwan, maka ini berbeza sekali dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan baru di Tunisia selepas Presiden Zein-Al-Abidin bin Ali digulingkan oleh satu pemberontakan di Tunisia baru-baru ini.

Kerajaan baru itu sama sekali mengenepikan Ikhwanul-Muslimin Tunisia yang juga berperngaruh.

El-Baradei mendesak Amerika supaya ‘meninggalkan’ Hosni Mubarak dan jangan melibatkan diri dengan krisis di Mesir sekarang. Ulama tersohor, Dr. Yusuf Al-Qaradawi turut menggesa supaya Hosni Mubarak dan kabenitnya meletakkan jawatan.

Sementara itu, pihak Ikhwan belum lagi mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan El-Baradei itu, yang mungkin dianggap terlalu awal. Tetapi dipercayai Ikhwan sangat berhati-hati dalam membuat keputusan seperti ini berdasarkan pengalaman pahitnyan di masa lalu, di zaman rejim Gamal Abd Naseer dan Anwar Sadat yang pada awalnya menghulurkan kerjasama, tetapi akhirnya rejim tersebut membunuh dan menahan serta menyeksa beribu-ibu ahli Ikhwan hingga kini, di zaman Hosni Mubarak.

Muhamad El-Baradei mengkritik dasar Amerika di Asia Barat, termasuk dasar Barack Obama di Mesir, yang menurutnya sama sekali bettentangan dengan aspirasi rakyat Mesir menyebabkan dasar Amerika itu gagal sama sekali.

Sementara itu, sebuah kenyataan terkini dari pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir, Dr. Mohamed Badie menyeru umat Islam di Mesir supaya bersatu, optimis kepada perjuangan ini.

Beliau menyeru umat Islam supaya bersedia menghadapi tindakan golongan penindas dan bersedia berjuang, berkorban untuk menjamin masa depan lebih baik.

Jika raskyat takut dan bimbang, kata Dr. Mohamed Badie, akan hanya menyebabkan berterusannya rasuah, kezaliman dan kemusnahan.
Pemimpin Ikhwanul Muslimin itu menekankan bahawa inilah perjuangan dan pengorbanan yang perlu dibayar di mana kebebasan bersuara tidak akan diperoleh kecuali rakyat belajar untuk berjuang, menuntut hak asasi mereka.

Sheikh Badie menyeru semua umat Islam dan bangsa Arab menyuarakan bantahan mereka terhadap merebaknya gejala rasuah, tekanan terhadap kebebasan bersuara yang selama ini dianggap oleh rejim lama Mubarak sebagai tidak penting.

Kebebasan bersuara ini, menurutnya, perlu dilindungi dan pihak berkuasa tidak mempunyai hak untuk menafikannya.

Baginya, rasuah yang kini terus berleluasa dilakukan oleh rejim dektator di mana rakyat mesti menentangnya.

Menurut pemimpin Ikwanul Muslimin itu, dunia Arab telah berada di bawah pemerintahan dektator yang bertujuan hanya untuk mengawal sepenuhnyan segala aspek, khususnya kekayaan negara di mana menyebabkan rakyat miskin, pengangguran, rasuah, penyelewengan, pembaziran dan kepura-puraan.

Pemimpin pemerintah Arab pula, kata beliau lagi, memerintah secara kuku besi dan mengawal kebangkitan rakyat untuk kesejahteraan raayat.

Pemimpin Ikhwan itu system pemerintaha dektator dunia Arab menyebabkan golongan yang kaya bertambah kaya, yang miskin terus miskin, tidak ada usaha melakukan perubahan.

Sementara itu, di tengah-tengah suasana pemberontakan di Mesir ini, ada suara kebimbangan amat sangat dari rejim Israel di Tel Aviv. Dalam satu temu ramahnya dengan CNN, bekas duta Isreal di Mesir, Eli Shaked memberitahu bahawa jika Hosni Mubarak digulingkan, dikhatirinya kumpulan Islam akan berkuasa dan akan bersikap keras terhadap Israel dan dunia Barat.

Sementara itu, dijangkakan lebih sejuta orang akan menyertai lagi tunjuk perasaan di Tahrir Square (Medan Kebebasan) di Kaherah dan beberapa tempat lain di mesir dalam beberapa jam lagi untuk menuntut rejim Hosni Mubarak meletak jawatan segera.

Kumpulan yang menggelar diri mereka ‘Gerakan 6 April’ merancang mengadakan demonstrasi lebih sejuta rakyat di tengah-tengah kebencian rakyat terhadap rejim Hosni Mubarak.

Para penunjuk perasaan yang masih bertahan di medan tersebut tidak pedulikan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh tentera. “Kami akan kekal di sini dan akan memperkukuh gerakan kami serta kami tidak akan berganjak dari sini,” kata penunjuk perasaan yang dirakam oleh TV Aljazeera.

Chanel tersebut kemudiannya telah ditutup oleh rejim Mubarak. Enam wartawan dan jurugambarnya ditahan.

Di antara yang menyertai tunjuk perasaam itu ialah para hakim dan majistret, para doktor dan jurutera, pegawai kerajaan dan swasta serta penulis. Diberitakan, lebih seratus orang telah terbunuh dan cedera. Semua komunilkasi dengan Mesir telah terputus.

Penunjuk perasaan menolak jaminan Hosni Mubarak untuk melaksanaskan pembaharuan ekonomi dan politik. Jaminan itu, menurut mereka, terlalu kecil dan sudah terlambat.

No comments:

Post a Comment