TEMERLOH, 24 Feb: Penyertaan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Kerdau mendapat sambutan awal yang amat menggalakkan apabila seramai 15 orang pemuda Kampung Telok Sentang menyerahkan borang permohonan untuk menjadi ahli PAS. Borang permohonan keahlian anak-anak muda itu diserahkan sendiri Ketua PAS Cawangan Telok Sentang, Abu Bakar Bakri kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena ceramahnya di kampung tersebut malam tadi. Menurut Abu Bakar penyertaan golongan muda itu akan menambahkan semangat dan keyakinan PAS cawangan untuk berhadapan dengan pihak lawan pada pilihan raya kecil Dun Kerdau dan pilihanraya umum yang akan datang. “Bersyukur kepada Allah di atas penyertaan golongan muda yang memberangsangkan ini dan kami menerima banyak permohonan yang dalam proses pengumpulan maklumat dari golongan muda kampung yang berada di luar,” katanya. Turut menyaksikan penyerahan borang tersebut ialah Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Speaker pohon ketepi keputusan kerusi P Klang Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim, telah memfailkan permohonan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Jumaat lepas yang mengekalkan kedudukan Badrul Hisham Abdullah sebagai Ahli DUN Pelabuhan Klang.
Writ itu difailkan menerusi Tetuan Tommy Thomas di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam semalam.
Dalam afidavit menyokong permohonannya, Teng, 48, berkata beliau mengalami ketidakadilan yang terlampau akibat penghakiman ingkar tanpa hujahan oleh peguamnya.
Cara pendengaran kes dilakukan khususnya atas dasar 'ex-parte' (sebelah pihak) sama sekali tidak adil, katanya.
Pada 18 Februari lalu, Hakim Datuk Zaleha Yusof memutuskan bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang tidak kosong dan Badrul Hisham kekali sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Zaleha membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar hujahan saman pemula Badrul Hisham terhadap Teng yang mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN itu berkuat kuasa 16 Jan lalu.
Zaleha juga memerintahkan Teng membayar kos sebanyak RM40,000.
Speaker DUN Selangor itu mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang berikutan kegagalan Badrul Hisham menghadiri sidang Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah.
Badrul Hisham kemudian memfailkan saman pemula 24 Jan lalu bagi memohon deklarasi bahawa beliau masih menjadi wakil rakyat bagi kawasan Pelabuhan Klang dan mempunyai hak untuk menghadiri persidangan DUN Selangor.
Beliau juga memohon deklarasi bahawa kerusi tersebut tidak kosong.
Teng memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu pada 11 Feb lalu dengan alasan selaku Speaker DUN negeri, beliau memiliki kekebalan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan daripada sebarang tindakan undang-undang.
- Bernama
SPRM siasat Exco Perak?
Harakahdaily |
IPOH, 24 Feb: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak didakwa sedang menyiasat salah seorang Exco kerajaan negeri itu atas dakwaan rasuah.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Perak meminta Menteri Besar, Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir mengesah dan menjelaskan dakwaan tersebut.
Menurut Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Munir Ali, exco terbabit adalah orang lama dalam Umno.
"Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) telah diberikan maklumat bahawa salah seorang Exco Kerajaan Negeri Perak pimpinan Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak baru-baru ini," kata Mohd Munir dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.
"Kami juga difahamkan bahawa Exco yang terbabit dalam siasatan SPRM tersebut merupakan ‘orang lama’ yang penting di dalam barisan kepimpinan Datuk Seri Zambry," katanya dalam kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS Perak mendesak Datuk Seri Zambry untuk mengesah dan menjelaskan isu tersebut bagi memberikan gambaran sebenar kepada rakyat.
"Pemuda PAS Perak juga meminta, jika maklumat yang diberikan tersebut benar, Exco terbabit wajar direhatkan dari menjalankan tugas rasmi bagi melincinkan siasatan SPRM," katanya. Isytihar harta
Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) juga mendesak Kerajaan Negeri Perak mengikut jejak langkah kerajaan negeri Selangor agar meminta semua Exco Kerajaan Negeri mengisytiharkan harta mereka dan dipamerkan di dalam laman web kerajaan negeri.
Perkara tersebut bagi membuktikan bahawa semua Exco kerajaan negeri bersih daripada amalan rasuah dan perkara tersebut adalah penting untuk menilai mana-mana pihak agar menunjukkan latar belakang yang bersih.
"Pemuda PAS Perak menunggu respon Datuk Seri Zambry bagi membuktikan perkara tersebut, jika Datuk Seri Zambry gagal mengisytiharkannya sepertimana langkah Kerajaan Negeri Selangor, akan menunjukan persepsi bahawa mereka tidak bersih sepertimana yang didakwa," kata Naib Ketuanya, Salman Haji Saleh.
Pemuda PAS Perak, katanya, yakin semua pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bersedia bagi membuktikan dengan cara mengisytiharkan harta mereka pada bila-bila masa.
Pemuda PAS juga yakin Umno/Barisan Nasional (BN) akan terus memberikan pelbagai alasan bagi melaksanakan perkara tersebut, katanya.
Protes anti-Taib di Ottawa, London, Isnin depan Kempen bagi menumbangkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud semakin mendapat momentum menjelang pilihan raya negeri itu dengan tua demonstrasi dirancang di Ottawa dan London Isnin depan.
Protes itu adalah anjuran Dana Bruno Manser Fund (BMF), sebuah kumpulan pejuang hak pribumi yang berpangkalan di Switzerland, dengan kerjasama pertubuhan alam sekitar antarabangsa, termasuk adik ipar bekas perdana menteri Britain, Gordon Brown - Clare Rewcastle Brown.
Rewcastle Brown adalah pengasas laman sesawang Sarawak Report, yang sebelum ini seringkali mendedahkan dakwaan salah-laku dan rasuah Taib serta empayar perniagaannya.
Menurut kenyataan BMF, protes di Kanada dan United Kingdom itu akan diketuai oleh pemimpin pribumi dari Malaysia dan akan diadakan di luar dua syarikat hartanah yang dikuasai oleh keluarga Taib di Ottawa dan London.
Kedua-dua syarikat itu - Sakto Corporation di Kanada dan Ridgeford Properties Ltd di London adalah 49 syarikat yang telah disenarai-hitamkan oleh BMF baru-baru ini.
Pemimpin dalam buangan
Protes di Ottawa, dijadualkan pada jam 12pm (Eastern Time, GMT-5), akan diketuai oleh Mutang Urud, seorang pemimpin pribumi dari Sarawak yang tinggal dalam buangan di Kanada sejak awal 1990an.
Mutang pada Februari 1992 telah ditangkap dan dikenakan hukuman kurungan berasingan oleh kerajaan Taib kerana mengendalikan Persatuan Penduduk Pribumi Sarawak (SIPA).
Beliau pernah berucap pada Perhimpunan Agung, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-47 di New York pada 10 Disember 1992 berhubung nasib pribumi Sarawak yang ditindas. Protes di London yang dijadualkan pada jam 9.30am (GMT) akan diketuai oleh Rewcastle Brown dan Peter John Jaban.
Peter, seorang penduduk pribumi Sarawak adalah DJ Radio Free Sarawak, sebuah stesen radio bebas gelombang pendek yang bersiaran dari London. Ia memfokus pada cerita-cerita aktivis Sarawak dan perjuangan masyarakat pribumi mempertahankan hak tanah mereka dan juga mendedahkan kepincangan pentadbiran Taib.
Pilihan raya Sarawak disebut-sebut akan diadakan pada April ini kerana hayat dewan undangan negeri itu akan berakhir Julai depan.
Lima pelajar UPM akan diambil keterangan Polis telah mengenal pasti lima pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang terbabit dalam mencetuskan kekecohan di bangunan pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPM di Serdang semalam.
Mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan, kata Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Abdul Razak Elias.
Beliau berkata pihak pentadbiran dan pengawal keselamatan universiti telah membuat dua laporan polis.
"Polis akan menyiasat insiden semalam di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mengadakan rusuhan," katanya kepada pemberita hari ini.
Abdul Razak turut meminta pihak luar supaya tidak memanipulasi perkara tersebut dan berharap pihak universiti dan mahasiswa dapat menyelesaikan masalah itu dengan baik.
Dalam kejadian itu, sekumpulan 200 pelajar Pro-Mahasiswa (Pro-M) bertindak mengadakan demonstrasi hampir 17 jam bagi memprotes tindakan HEP UPM yang telah menarik balik kemenangan 11 calon Pro-M dalam pilihan raya kampus universiti berkenaan.
Pembatalan itu menyebabkan pelajar kumpulan Pro-M berhimpunan di hadapan bangunan pendtadbiran UPM bagi meminta penjelasan daripada Timbalan Naib Canselor HEP UPM, Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan sebab pembatalan tersebut.
Pintu kaca ke bangunan HEP dilaporkan pecah sementara lima pengawal keselamatan cedera dalam kejadian itu.
- Bernama
Kerdau: MB nafi calon BN beli ijazah Sekalipun tempoh kempen dan hari penamaan calon bagi DUN Kerdau belum bermula, calon BN sudah pun menjadi penyokong dan parti pembangkang.
Syed Ibrahim Syed Ahmad dituduh menipu berhubung kelulusan akademiknya.
Beliau didakwa tidak lulus semasa belajar di Universiti Al-Azhar dan dituduh membeli ijazah dari universiti berkenaan.
Syed Ibrahim yang lebih dikenali sebagai 'Syed Ibra' di kalangan penduduk tempatan hanya tersenyum lebar ketika ditemui Bernama bagi mengulas perkara berkenaan.
"Biarlah apa orang nak kata, kita tak boleh ikut dia (penyokong dan parti pembangkang), dia macam-macam boleh kata, kalau kita jawab lebih pun tak guna.
"Biarlah rakyat tahu sendiri," katanya ketika ditemui, hari ini.
Beliau yang juga naib ketua Umno bahagian Kuala Krau adalah lulusan dari Universiti Al-Azhar dalam bidang Bahasa Arab.
Syed Ibrahim mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kuala Krau dan di Sekolah Menengah Agama Al Khairiah Temerloh sebelum menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar pada 1989 hingga 1996.
Beliau diumumkan sebagai calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lepas.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob ketika ditemui hari ini turut kesal dengan tindakan para penyokong PAS dan parti itu yang membuat dakwaan tidak berasas.
"Saya tengok sijil dia, kalau dia tak lulus tinggi, takkan saya nak ambil dia bekerja sebagai pegawai khas agama kepada menteri besar. Bodohlah saya ambil orang tak ada kelulusan.
"Tuduhan mengatakan dia tak ada kelulusan, itu satu pembohongan dan fitnah," katanya.
DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan Sabtu ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac depan.
|
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 24 Feb: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam penindasan yang berlaku sepanjang pilihanraya kampus baru-baru ini dan mendesak agar satu suruhanjaya bebas dibentuk bagi menyiasatnya.
Penindasan ini berlaku di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk insiden membakar kain rentang, kes menyimbah cat ke kereta calon serta penyebaran sistem pesanan ringkas (SMS) berunsur hasutan yang diterima calon, khususnya Pro-Mahasiswa (Pro-M).
Terkini, pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) pula telah membatalkan kemenangan beberapa calon Pro-M dalam pilihan raya kampus di universiti tersebut.
Walaupun menerima bantahan khususnya daripada pihak pelajar khususnya Pro-M, pihak universiti masih enggan membuat penjelasan sehinggalah ia mengundang campurtangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.
Kami berpendirian bahawa pihak UPM telah menyalahgunakan kuasa dengan menindas hak asasi mahasiswa," kata Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung dalam satu kenyataannya.
Selain itu, berlaku juga insiden di mana pegawai keselamatan pihak universiti (UPM) telah bertindak keras terhadap mahasiswa-mahasiswa yang berhimpun secara aman sehingga mengundang kecederaan apabila pintu kaca pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) pecah akibat insiden tolak-menolak antara kedua-dua pihak.
Bagi Suaram, sebagai wadah pemangkin kesedaran demokrasi dan hak asasi manusia di kalangan mahasiswa, pihak universiti tidak sepatutnya bertindak secara keras dan memutusakn sesuatu perkara tanpa perbincangan dan penglibatan pelajar.
Tindakan ini merupakan satu pencabulan ke atas demokrasi di kampus dan telah mengabaikan hak asasi manusia, katanya.
Tindakan pihak Universiti yang hanya tahu berjanji tanpa sebaran inisiatif bagi merubah sistem demokrasi di kampus hanya akan meruntuhkan kualiti dan status universiti tersebut, tambah beliau.
Menurutnya, Deklarasi Hak Asasi Manusia dalam artikel ke-19 dan ke-20 menyatakan hak seseorang untuk bebas bersuara dan hak untk berhimpun serta berpersatuan.
Sementara itu, Perlembagaan Persekutuan dalam artikel ke-10 juga member jaminan kepada hak individu untuk berkumpul dan bebas menyatakan pendapat, tambah beliau.
Menurut Yap Heng Lung, pihak universiti sebagai institusi pengajian tinggi seharusnya memahani dan mematuhi artikel yang termaktub dalam perlembagaan deklarasi dan perlembagaan tersebut.
Insiden keganasan dan ketidakadilan yang berlaku di UPM adalah disebabkan proses pengurusan pihak universiti yang kurang telus dan adil malah berada di bawah kawalan kerajaan pemerintah.
Hal ini menyebabkan kumpulan mahasiswa yang bersifat kritikal dan berfikiran progresif selalu ditindas dalam kampus.
"Suaram menuntut pihak pengurusan UPM menghentikan penyalahgunaan kuasa dengan menggunakan pengawai keselamatan kampus untuk bertindak keras terhadap mahasiswa sehingga membawa kepada kecederaan kepada mahasiswa.
"Pengawai keselamatan langsung tidak mempunyai kuasa untuk bertindak keras malahan mereka sepatutnya bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan mahasiswa serta mengawal keadaaan pada masa tersebut," katanya.
Pihak universiti, katanya, harus menarik balik surat bantahan tersebut dan mengambil tindakan terhadap pengawai keselamatan yang bertindak keras termasuk mengambil langkah untuk meletak jawatan pengawal keselamatan tersebut. |
Hajjah Ilani Isahak meninggal dunia
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 24 Feb: Bekas anggota Parlimen Kota Bharu, Hajjah Ilani Isahak (gambar - Themalaysianinsider) meninggal dunia jam 6.05 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas sekian lama diwadkan kerana kanser payu dara.
Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Antara Agama Kebangsaan telah dimasukkan ke HUKM selepas dikesan mengidap kanser payudara tahap ketiga beberapa bulan lalu.
Ketika dikunjungi Harakahdaily Isnin lepas, Hajjah Ilani, menjelang umurnya 58 tahun bulan depan, sudah agak sihat dan boleh duduk di atas kerusi selepas beberapa hari terlantar di atas katil wad pengawasan tinggi itu.
Namun, beliau sudah tidak berapa bercakap berbanding karektor asal beliau dan hanya melemparkan senyuman kepada para tetamunya.
"Maaflah kurang bercakap," kata Hajjah Ilani kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang menziarahi beliau ketika itu.
Adik beliau, Dr Amir Farid juga berada di sisinya ketika itu.
"Tak apalah, dia sudah banyak sangat bercakap sebagai ahli politik sebelum ini," kata Dr Amir bergurau tentang kakaknya itu kepada Datuk Mustafa.
"Kami menjaga ibu secara bergilir-gilir," kata anak sulungnya kepada Harakahdaily.
Hajjah Ilani adalah antara anggota Parlimen popular apabila menang di Kota Bharu dalam pilihan raya umum 1990. Ketika itu beliau bersama Tengku Razaleigh Hamzah dalam Parti Melayu Semangat 46.
Jenazah beliau akan dibawa ke rumahnya di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail tengahari ini dan dijangka akan dikebumikan tengahari ini juga.
Sementara itu, PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah di atas perginya Hajjah Ilani.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau kenal dengan Hajjah Ilani sejak sekian lama termasuk kenal rapat dengan keluarga beliau khasnya Dr Amir Farid.
"Takziah kepada keluarganya, alhamdulillah sempat ziarah beliau ketika di hospital. Kita tidak boleh melawan takdir dan harap semua keluarganya bersabar menerimanya," kata Mustafa.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail juga mengucapkan takziah kepada keluarga Hajjah Ilani.
"Al-Fatihah, Datuk Ilani Ishak meninggal dunia dan takziah kepada keluarga allahyarhamah. Moga ruh dicucuri rahmat," kata Wan Azizah melalui Twitternya.
MP Nibong Tebal masuk parti KITA Lee Way Loon & Zakaria Hazlan
Feb 24, 11
11:33pm
Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) pimpinan Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan penyertaan ahli parlimen Nibong, Tebal Tan Tee Beng ke dalam parti itu.
Bercakap dalam satu akhbar bersama Tan di Petaling Jaya hari ini, Zaid berkata, KITA membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang boleh berkhidmat kepada rakyat, tetapi tidak pernah mendapat peluang untuk berbuat demikian.
Manakala Tan pula, ketika menjawab soalan media, berkata bbeliau menyertai KITA kerana beliau percaya parti itu benar-benar mahu membawa perubahan.
Menjawab soalan wartawan sama ada beliau masih boleh dipercayai selepas berulangkali melompat parti - pertamanya meninggalkan Gerakan untuk sertai PKR dan sekarang menyertai parti KITA - Tan menafikan dia seorang pelompat parti.
"Saya tidak lompat, saya dipecat oleh Gerakan, bersama-sama dengan ayah saya yang juga merupakan ahli pengasas (dari Gerakan).
"Apabila saya dipecat, saya tidak menyertai mana-mana pihak sehingga 2007. Hanya ketika itu saya menyertai PKR," katanya. Tan juga mengingatkan wartawan bahawa beliau tidak menyertai mana-mana parti politik selepas meninggalkan PKR.
"Saya menarik diri dari PKR, saya tidak melompat!" tegas Tan.
Zaid kemudian mencelah, bahawa beliau juga pernah dituduh sebagai katak, tetapi beliau tidak melompat parti, sebaliknya dipecat oleh Umno kerana membantah penggunaan ISA terhadap rakyat.
Gempa bumi di NZ: Seorang rakyat Malaysia hilang Seorang pekerja wanita rakyat Malaysia dilapor hilang di Christchurch berikutan kejadian gempa bumi Selasa lalu dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
Ketua bilik operasi Malaysia di Chirstchurch, Ayauf Bachi, berkata pihaknya menerima laporan kehilangan wanita berumur 30-an itu daripada rakan-rakanya pada hari kejadian.
Wanita yang berasal dari Sarawak itu bekerja di sebuah syarikat swasta di bandar itu, dan keluarganya telah dihubungi bagi memaklumkan mengenai kehilangannya, katanya kepada Bernama ketika dihubungi untuk perkembangan terkini rakyat Malaysia di sana.
Beliau berkata Pasukan Pertahanan Awam New Zealand yang mengetuai usaha mencari dan menyelamat mereka yang masih terperangkap dan hilang dalam malapetaka itu, telah dimaklumkan mengenai kehilangan wanita berkenaan.
Ayauf, yang juga Timbalan Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri, berkata terdapat 636 rakyat Malaysia di Christchurch, termasuk 390 penuntut dan pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 40 penuntut dalam empat kumpulan hari ini untuk mengetahui bantuan yang perlu disalurkan.
Daripada empat kumpulan itu, tiga kumpulan datang sendiri ke bilik operasi yang ditempatkan di sebuah bangunan hotel di Christchurch, manakala pihaknya turut melawat satu lagi kumpulan yang mengandungi 12 penuntut yang rumah mereka rosak dan pada masa ini tidak dibenar memasukinya.
Ayauf berkata 12 penuntut terbabit kini menumpang dengan kawan-kawan dan usaha sedang dijalankan untuk memberi bantuan sewajarnya kepada mereka.
Angka kematian dalam gempa bumi bermagnitud 6.3 Selasa lalu meningkat kepada 98 orang, dengan 300 orang dilapor hilang.
Gempa itu yang paling teruk melanda New Zealand sejak gegaran bermagnitud 7.8 yang mengorbankan 256 orang di wilayah Hawke''s Bay pada 1931.
Gegaran pada September tahun lalu bermagnitud 7.1 pula memusnahkan 100,000 rumah tetapi tiada yang terkorban.
New Zealand terletak pada "Gegelang Api Pasifik", satu kawasan seismik dan volkanik luas yang menganjur dari Chile ke Jepun di sebelahnya dan ke Indonesia di sebelah lagi.
- Bernama |
|
No comments:
Post a Comment