ORANG YANG TAK NAK BERTAUBAT BERMAKNA DEGIL PADA ALLAH DAN BERLAGAK KEPADA MANUSIA
DAH BUAT DOSA BERTAUBAT ITU JADI WAJIB
Taubat kunci ke syurga
Kita sebagai hamba Allah tidak tahu bila kita akan mati.
Dari Abdullah bin Abbas meriwayatkan Rasullullah bersabda: “Orang yang bertaubat apabila mereka keluar dari kuburnya, terangkat di hadapan mereka bau kasturi dan mereka didatangkan hidangan dari syurga, mereka makan daripadanya sedang mereka berada di bawah naungan Arasy dan seluruh manusia dalam tahanan hisab.” Di sini jelaslah kepada kita orang yang bertaubat akan mendapat kurniaan besar daripada Allah di akhirat.
Jadi, berusaha kita untuk memohon ampun kepada-Nya setiap hari
Jangan biarkan hari berlalu tanpa bertaubat. Hakikat yang perlu kita insafi bahawa orang bertaubat adalah orang yang hatinya menjadi putih suci dan sangat takut kepada Allah.
Di dalam al-Quran banyak menyebutkan tentang memohon ampun (istighfar) itu.
Antaranya ialah firman Allah dalam Surah Muzammil ayat 20 bermaksud; “Dan mintalah engkau keampunan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Dalam soal memohon ampun hendaklah sebagai umat Islam meneladani Rasulullah.
Baginda bersabda; “Demi Allah sesungguhnya aku selalu mohon ampun kepada Allah sehari semalam lebih dari tujuh puluh kali.” (Hadis riwayat Abu Hurairah).
Seorang Rasul Allah dan bersifat maksum masih lagi memohon ampun kepada Allah.
Jadi apalah dengan diri kita ini yang sentiasa bergelumang dengan dosa setiap hari. Adakah kita enggan berbuat demikian? Jangan begitu saudaraku, kita kena sedar siapa pun diri kita dosa itu sentiasa melilit kita.
Justeru, jadikan amalan beristighfar itu sebagai agenda utama kita sepanjang hari, sepanjang masa.
Dalam menjalankan jalur kehidupan di atas muka bumi Allah ini, manusia seakan-akan cuai untuk memohon ampun, malah menjadi sangat malang jika ada yang memandang remeh soal penting ini.
Sebab itulah Rasulullah berpesan, dua perkara yang melalaikan manusia, iaitu waktu sihat dan waktu lapang.
Memang benar dan menjadi suatu hakikat manusia senang dihanyutkan hal keduniaan seandainya dia dalam keadaan sihat dan mempunyai waktu lapang.
Masa banyak dihabiskan untuk memikirkan seberapa banyak hal dunia seperti cuba mengumpul harta kekayaan sehingga terlupa bekalan akhirat.
Mana perbendaharaan untuk akhirat tidak dijadikan kriteria lagi, kerana apa yang terpampang di wajah hanya keindahan dunia.
Malang sungguh jika bersikap seperti ini.
Jadi, dalam soal membudayakan amalan beristighfar kepada Allah, mesti berputik daripada hati.
Kita seharusnya menjernihkan karat-karat hati agar hati kita kembali putih bersih.
Jangan biarkan hati kita terus berkarat akibat dosa yang dilakukan.
Kata Abdullah Ibnu Mubarak; “Aku melihat dosa-dosa itu mematikan hati dan rindu pada berbuat dosa, ia akan mewariskan kehinaan.
Meninggalkan dosa bererti menghidupkan hati, kerana itulah yang terbaik untuk dirimu.” Ingat, orang yang bertakwa sentiasa beranggapan dia banyak dosa.
Lantas setiap masa dan hari lidah dan hati dijuruskan kepada Allah memohon keampunan.
Jalan terbaik menyedarkan diri ialah dengan sentiasa bermuhasabah.
Amalkan sebelum tidur berfikir dan merenung diri apa yang telah kita lakukan pada hari itu.
Apa dosa zahir dan batin yang telah kita lakukan.
Yang zahir mungkin manusia lain nampak akan kemaksiatan kita, bagaimana dengan maksiat hati (batin)? Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat apa yang tersembunyi.
Ingatlah wahai saudaraku, kita sentiasa diawasi.
Kita tidak boleh lari daripada pengadilan Yang Maha Adil.
Oleh sebab itu saudaraku, segeralah kita bertaubat memohon keampunan Allah.
Jadikan ia sebagai amalan harian hidup kita.
Jadikan moto hidup kita: “Tak Sempurna Hari Tanpa Istighfar.” Taubat adalah fardu ain bagi setiap mukmin dan merupakan tanggungjawab seorang hamba Allah.
Jangan beranggapan kita tiada dosa yang dilakukan oleh anggota badan.
Mungkin kita berdosa lantaran mungkar hati.
Ini kerana hati itu tempat singgahnya syaitan yang sentiasa menghasut seseorang untuk bermaksiat kepada Allah.
Jadi, eloklah kita sentiasa bermuhasabah diri demi memikirkan dosa-dosa kita sama ada yang dilakukan oleh anggota badan mahupun dosa maksiat hati.
Dengan itu, kita akan sentiasa terpimpin meniti jalan suci yang diredai Allah.
Dengan taubat juga seseorang mukmin itu dapat membersihkan jiwa yang membawanya menuju kepada kebenaran serta memandunya mendekatkan diri kepada Allah.
Jiwa yang suci bersih itu sekali gus melahirkan insan muqarrabin iaitu manusia yang dekat kepada Allah.
Taubat itu kunci pintu syurga.
Jadi, bersegeralah kita bertaubat dan lazimkan lidah dan hati beristighfar memohon keampunan Allah.
Justeru, marilah kita renungi bersama akan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 133-134 ini yang bermaksud; “Bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.
Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain.
Allah menyukai orang-orang berbuat kebajikan.” Baca, hayati dan mari kita bersama jadikan peringatan Allah sebagai pedoman untuk kita menelusuri lembah kehidupan di dunia yang fana ini dengan harapan hidup kita dirahmati Allah.
“Ketahuilah, wahai hamba-hamba-Ku yang telah melakukan perbuatan melampau batas ke atas diri-diri mereka, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni keseluruhan dosa.
Sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat.” (Surah Az-Zumar : 53)
Penulis seorang guru
No comments:
Post a Comment