Tuesday, March 1, 2011

CORETANKU 364

APA PUN YANG HENDAK KITA LAKUKAN WAJIB BERLANDASKAN ISLAM...JIKA INGIN SELAMAT DUNIA DAN AKHIRAT...ALLAH TAK RUGI APA2 JIKA KITA MENOLAK ATAU BERDEGIL

Hadapi pilihanraya dengan akhlak Islami
Nasrudin Hassan Tantawi
1. Kita adalah mewakili Gerakan Islam yang menyertai politik berpilihanraya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Biarpun ruang demokrasi itu kian sempit namun perjuangan untuk meloloskan Islam dari kepungan jahiliyah moden hari ini mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun selama mana cara dan kaedah itu diizinkan oleh syara' . 2. Justeru itu, penyertaan dan penglibatan kita dalam pilihanraya bukanlah didorong oleh rasa ingin berpilihanraya semata atau didesak keinginan untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh semata, sebaliknya ia adalah didokong oleh prinsip untuk menjulang Islam dan segala syariatnya agar menempati ruang yang selayaknya sebagai cara hidup [ way of life ] pula mengatasi kedudukan ideologi ciptaan manusia.
3. Bertolak dari nokhtah ini, partisipasi kita dalam seluruh kegiatan politik tanahair hari ini adalah satu ibadah atau pengabdian diri kita kepada Allah swt. Justeru itulah, kita bertanggungjawab pula untuk memastikan setiap langkah kita dalam sebarang aktiviti politik ini, samaada dalam aspek menggaris matlamat, melakar objektif, merencana strategi dan mengurus operasi, segalanya mestilah berlandaskan syariat dan akhlak Islami.
4. Tindakan yang dihambat emosi, dihasut nafsu dan dirasuk dendam adalah suatu yang mesti dielakkan dalam gerak langkah kita berkempen dan mencari sokongan politik. Bahkan apa yang wajar dan sayugianya ialah setiap pimpinan dan ahli PAS mempamerkan qudwah yang unggul dan uswah yang luhur mencerminkan bayangan akhlak terpuji didikan Rasul saw.
5. Jauhkan diri dari politik maki hamun dan caci nista biapun saat mendepani provokasi luarbiasa dari pihak lawan. Kekalkan rentak berakhlak sekalipun dilatari kebingitan melampau yang mencabar rasa dan cita kita sepanjang tempoh perjuangan, khasnya di saat mendepani detik pilihanraya umum atau kecil.
6. Bukankah Allah swt mewahyukannya kepada kita semua :
فبما رحمة من الله لنت لهم ولو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك فاعف عنهم و استغفر لهم و شاورهم في الأمر فإذا عزمت فتوكل على الله إن الله يحب المتوكلين
Maka dengan sebab Rahmat [yang melimpah] dari Allah swt [kepadamu Wahai Muhammad], Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka [sahabat-sahabat dan pengikutmu], dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka [mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu], dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka dalam urusan [peperangan dan hal-hal keduniaan] itu. kemudian apabila Engkau telah berazam [Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu] maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
Surah Aali Imran : 159
7. Ayat ini sebahagian dari strategi penting yang perlu dilaksana dan dihayati untuk menghasilkan kesan mendalam dalam urusan kempen kita sepanjang tempoh pilihanraya. Sementara umum mengetahui bahawa pilihanraya adalah berkait dengan undi yang ingin diperolehi dari rakyat atau pengundi. Maka ia memerlukan satu pendekatan yang lunak dan meyakinkan pengundi untuk mereka hampir dengan kita lalu memberikan undinya kepada kita.
8. Pilihanraya bukan medan peperangan untuk menghunus senjata tajam seumpama pedang guna memenggal leher lawan dan menebas betis penghalang, tetapi pilihanraya adalah gelanggang untuk memenangani hati pengundi agar memberi peluang serta kepercayaan kepada kita untuk memimpin dan mewakili mereka dalam satu - satu kawasan pilihanraya yang ditandingi.
9. Akhlak menjadi senjata berkesan di medan pilihanraya justeru ia berkait dengan usaha konsisten untuk memenangi hati pengundi. Memenangi pilihanraya, kita perlukan undi dari semua pihak sekalipun bukan dari kalangan kita. Maka hal ini hanya boleh dicapai apabila kita berjaya memenangi hati dan meyakinkan mereka untuk memberi sokongan kepada kita. Hanya akhlak mulia [ Islami ] yang boleh memenangi hati manusia. Caci nista pula menjauhkan kita dari mereka dan menjarakkan mereka dari kita.
10. Kawal diri dan kekang emosi terutama saat berdepan provokasi. Marilah kita bina suasana politik baru yang berteraskan politik Rasulullah saw. Terutama pada hari perarakan penamaan calon dan hari akhir sewaktu merayu undi, sekali lagi saya seru agar elakkan diri dari melontarkan kalimah dan slogan yang tidak mencerminkan ketinggian budi dan akhlak muslim. Berwatak matanglah dalam memimpin slogan serta aksi tanpa mencemuh pihak lain. Pilih slogan yang boleh menaikkan semangat juang dengan penuh hemah.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia

Suhaimi Mokhtar: Ghadafi menunggu saat tumbang
Suhaimi Mokhtar
Seluruh Rantau Timur Tengah kini menyaksikan revolus i kebangkitan rakyat yang pada saat ini sedang melanda ibya, Yaman, Algeria, Morocco, Bahrian, Jordan, Kuwiet, Djubuti dan lain-lain negara. Revolusi kebangkitan ini akan melanda seluruh jazerah Arab sehingga ke Saudi Arabia. Rantau ini memang selamanya sentiasa bergolak sejak wujudnya regim haram zionis Yahudi dibumi Palestin pada
1948.

Rantau itu menyaksikan peperangan demi peperangan antara regim zionis dengan negara-negara Arab barisan hadapan, iaitu Mesir, Jordan dan Syria. Pada 1979 Revolusi Islam Iran telah menumbangkan regim Shah Iran yang mati dalam buangan dan terbentuknya kerajaan yang di pimpin oleh Imam Khoemaini yang kembali dari buangan di Peranchis.

Rantau yang sentiasa bergolak itu kini mencipta sejarah baru apabila rakyat negara-negara ini bangkit memperjuangkan hak dan kebebasan mereka dengan menebus maruah setelah berada dibawah pemerintahan diktator, kukubesi, zalim dan menindas.

Kebangkitan revolusi rakyat dinegara-negara ini berkelangsungan setelah 32 tahun Revolusi Islam Iran.Di permulaan revolusi Iran,Imam Khoemaini pernah menganjurkan hasrat untuk mengexport revolusi kenegara-negara umat islam lain.Agaknya Imam Khoimeini mampu meramalkan apa yang sedang berlaku sekarang ,apabila menyebut untuk mengexport revolusi ke negara umat islam.

Hasrat ini tidak tercapai segera,tetapi ia mengambil tempat 32 tahun emudian.Sama ada revolusi kebangkitan rakyat dinegara-negara rantau Timur Tengah kini ada hubung-kaitnya dengan revolusi Iran tidak penting, tetapi hakikatnya dunia sedang menyaksikan satu kebangkitan besar rakyat diseluruh jazerah Arab yang bakal nanti menjangkau keseluruh bumi umat islam seluruh dunia.

Raja Abdullah, Saudi Arabia sekembalinya dari bercuti sakit diluar negara telah mengumumkan peruntukan berbilion dollor untuk rakyatnya dan Sultan Oman juga mengumumkan peruntukan kenaikan gaji untuk rakyatnya. Semuanya ini bagi membendung kebangkitan revolusi rakyat merebak kenegara mereka.

Apa pun yang dipanggil mengikut tanggapan dan kecenderungan masing-masing tentang kebangkitn revolusi rakyat ini. Ia adalah kebangkitan islam yang menyeluruh diseluruh negara umat islam.Kebangkitan ini berkelangsungan selepas kejatuhan Iraq,Afghanistan yang sehingga kini masih ditakluki dan dijajah oleh negar a kuasa Amerika Syarikat(AS) dan sekutu baratnya.

Umat islam melihat konflik dan penentangan rakyat Palestin dari pimpinan Hamas dan rakan-rakannya yang berpaksikan islam terhdap regim zionis Yahudi tidak sampai kemana-mana pun. Rakyat Palestin terus sengsara dan menderita dibumi yang ditakluki regim zionis yang didukung dan dijulang oleh AS dan sekutunya serta negara talibarut mereka.

AS dan barat berkerjasama dengan PLO dan Fatah dan regim-regim Arab yang bersekongkol dengannya untuk kononnya membahagikan bumi Palestin dengan melahirkan Negara Palestin dalam peta damai dua negara yang beriringan antara satu dengan lain.

Kebangkitan revolusi rakyat dibumi-bumi umat islam di rantau Timur Tengah ini, walaupun mempunyai faktor-faktor segera seperti penggangoran dan kemiskinan,isu kebebasan bersuara dan hak asas manusia,kekejaman dan kezaliman serta lain-lain,tetapi faktor kebangkitan islam dan isu konflik Palestin tetap mendasari hakikat perjuangan kebangkitan revolusi rakyat ini.

Semua negara-negara yang menjadi medan pertumpahan darah ini adalah negara-negara sekutu yang bersekongkol dengan AS dan barat.Negara-negara ini bersama dengan negara kuasa AS dan barat dalam peperangan menentang keganasan atau ‘war on terror’ yang dimulakan oleh mantan Presiden Bush sejak 2001 selepas perisistiwa 9/11 atau 11 September apabila menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York diranapkan dengan rempuhan kapalterbang penumbang,

Umat islam menyaksikan pembunuhan beramai-ramai di Iraq, Afghanistan, Pakistan, Somalia dimana negara-negara kuasa ini terlibat secara langsung menakluki dan menjajah negara umat islam atau mereka melancarkan perang melalui proxy mereka.

Kebangkitan revolusi rakyat ini adalah kebangkitan rakyat terhadap dasar-dasar negara kuasa, sekutu mereka dan negara perkakas mereka.Selepas kejatuhan Ben Ali di Tunisia yang diikuti oleh Hosni Mubarak diMesir,kini Muammar Ghadafi yang memerintah selama 42 tahun sedang berada diamabang kejatuhannya.

Negara-negara yang tumbang ini adalah negara yang menjadi talibarut AS dan barat.Libya yang pada satu ketika merupakan negara anti AS dan mempunyai masaalah dengan AS dan barat tetapi mutakhir ini Muammar Ghadafi telah menerima kunjungan Tony Bliar di Tripoli, ibunegara Libya, semasa Bliar masih Perdana Menteri (PM) Britian.

Mereka mencapai kesepakatan dalam beberapa perkara antaranya penjualan petrol dan gas oleh Libya kepada Britain dan pembelian senjata oleh Libya dari Britain.

Revolusi rakyat di Tunisia berakhir dengan mudah,di Mesir berlangsung selama 18 hari, barulah akhirnya Mubarak meninggalkan takhta kuasanya,tetapi di Libya ,Muammar Ghadafi mahu terus memperthankan takhta kuasa yang dinikmatinya selama 42 tahun. Ghadafi menyatakan mahu mati syahid dibumi Libya yang bererti dia tidak akan menyerahkan takhtanya tanpa mempertahankannya.Mubarak hanya mampu mengatakan mahu mati dibumi Mesir dan akhirnya menyerah kalah kepada kehendak rakyat.

Ghadafi dalam ucapannya di seluruh negara berucap dalam nada marah-marah dan anaknya pula mengancam bahawa Libya akan menghadapi satu perang saudara sebelum segala-galanya berakhir. Dan kini Libya benar-benar berada dalamp erang saudara.Berapa lama ia berlangsung bergantung kepada iltizam rakyat Libya dan kemampuan Ghadafi mempertahankan regimnya.

Kini revolusi rakyat Libya telah menguasai sebahagian besar bumi Libya di timur dan di barat termasuk Benghazi,bandaraya kedua terbesar dan sokongan terhadap Ghadafi mulai berkurangan apabila ramai para diplomat dan pegawai-pegawai tentera telah menyebelahi revolusi rakyat. Ketakutan rakyat Libya telah hilang seperti juga berlaku sebelumnya,ketakutan rakyat Tunisia dan Mesir telah hilang terhadap regim masing-masing.

Ghadafi kini bertahan di Tripoli dan hanya masa akan menentukan pengakhiran regimnya kerana arus kebangkitan rakyat tidak mampu dipertahankan, tetapi Ghadafi melihat perwatakannya dia akan mempertahankanya sehingga keakhir hayat. Ghadafi kini menyalahkan Al-Qaeda terhadap apa yang berlaku di Libya dan sebelumnya dia menyalahkan kuasa luar yang menimbulkan huruhara di Libya.

Rakyat Negara-negara yang dilanda kebangkitan revolusi ini sebenarnya telah jemu dan bosan dengan pemerintahan zalim dan penindasan yang dilakukan. Walaupun terdapat unsur tempatan dalam kebangkitan yang mewarnai revolusi rakyat ini, tetapi hakikatnya banyak persamaan iaitu regim-regim ini bersikap zalim dan menindas terhadap rakyat masing-masing menyebabkan rakyat bangkit berjuang.

Kejayaan Revolusi di Libya tidak semudah di Tunisia dan Mesir kerana Ghadafi dan anaknya, Saiful Islam Ghadafi tidak akan menyerahkan kekuasaannya tanpa mempertahankannya. Setakat ini beribu nyawa rakyat termasuk tentera telah terkorban. Ghadafi menggunakan segala tektik dan tipu helahnya bagi mempertahankan kuasa-nya,termasuk menggunakan tentera upahan dari Afrika untuk menyerang mereka yang berdemonstrasi dan berkumpul di dataran hijau,ditengah-tengah bandaraya Tripoli.

Apa yang berlaku dirantau Timur Tengah memperlihatkan kegagalan perang menentang keganasan, kegagalan polisi AS dan barat dirantau stratijik yang sentiasa bergolak itu. Dengan tumbangnya satu demi satu regim kejam di rantau itu,maka landskap politik dirantau itu akan berubah dan AS serta barat akan terpaksa mencari pendekatan baru untuk terus menjaga kepentingannya dirantau penting dunia itu.

Pengaruh AS dan barat dirantau itu tidak sama lagi.Dengan perubahan politik yang bakal berlaku,tenaga-tenaga islam ,sama ada Ikhwan Muslimin atau pergerakan islam lain akan muncul sebagai tenaga politik baru dirantau itu.

Revolusi di Libya menyelubungi kebangkitan yang tidak kurang hebat dan besar yang berlaku di negara-negara seperti Bahrian,Yaman,Algeria dan lain-lain .Kebangkitan dinegara-negara ini juga memakan korban yang besar dan pemerintah regim –regim negara ini juga berdegil cuba mempertahankan regim masing-masing seperti Presiden Ali Abdullah Salleh yang cuba mempertahankan regimnya di Yaman.

Semua regim-regim ini hanya menungga masa sahaja lagi untuk tumbang satu demi satu.Walau bagaimana sekali pun percubaan mereka untuk mempertahankan takhta masing-masing,pemimpin-pemimpin zalim yang suka menindas ini akhirnya akan kecundang dan dikalahkan oleh kebangkitan revolusi rakyat.

Haris Zalkapli: Isu Ikhwan, Najib berlebihan bina imej moderat
Haris Zalkapli
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menerima kecaman ramai apabila didakwa mengaitkan gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin dengan terorisme dalam satu wawancara di Turki.
Walaupun tidak secara eksplisit menyebut Ikwan dan Yusuf al-Qaradawi ialah teroris, sudut beliau memberikan pandangan itu jelas sekali meletakkan Ikhwan dan al-Qaradawi dalam kedudukan sangat negatif.
Walau bagaimanapun, implikasi kata-kata Najib itu memberi maksud Ikhwan ialah teroris, kerana kumpulan itu, menurut Najib sendiri, boleh terlibat dalam politik Mesir dengan syarat menolak keganasan.
“Saya tidak kata Ikhwan al-Muslimin ini kumpulan pengganas. Saya kata mereka boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya dengan syarat mereka menolak keganasan dan fahaman ekstremisme,” kata Najib dilapor akhbar kerajaan.
Najib melalui kenyataan ini menuduh Ikhwan menyokong keganasan, dan perlu menolak keganasan sekiranya mahu terlibat dalam proses politik.
Realiti kaitan Ikhwan dengan pelbagai kumpulan jauh lebih kompleks daripada yang dilihat di permukaan.
Ikhwan mempunyai hubungan dengan Hamas di Palestin, yang dilabel pengganas oleh kerajaan Amerika Syarikat.
Tetapi Ikhwan juga dikecam hebat oleh al-Qaeda, melalui seorang pemimpinnya Ayman al-Zawahiri, kerana terlibat dalam pilihan raya di Mesir.
Pandangan Najib seperti dilapor media berhaluan kanan AS, National Review itu kelihatan tidak berdasarkan pengetahuan yang lebih mendalam tentang Ikhwan dalam politik Mesir.
Sebagai media konservatif di AS, mudah untuk difahami pemilihan sudut itu oleh National Review.
Pandangan menyeleweng dan laporan media berhaluan kanan yang dikenali sangat kritikal terhadap Islam itu sememangnya mudah untuk menghasilkan akibat seperti disaksikan ini.
Kenyataan Najib itu sangat mudah dibaca sebagai satu usaha berlebihan untuk membina imej “moderat,” dengan terlalu menerima satu wacana dominan Barat yang sangat kritikal terhadap Ikhwan dan Islamis.
Islamis dikait sebagai secara alami sebagai tidak selari dengan demokrasi dan perlu membuktikan kelayakan mereka untuk menyertai proses demokrasi.
Kenyataan itu, ketika media memunculkan gambar berharga beliau bersama Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan boleh membawa satu mesej positif pada mata Barat.
Pertemuan dengan pemimpin popular Turki itu mampu meningkatkan imej Muslim moderat Najib dan Malaysia melalui kaitan dengan Turki (dan pada masa sama menyaingi pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin negara itu).
Tetapi, dalam politik domestik dan sebahagian dunia Islam, mesej yang dimunculkan melalui ucapan Najib itu memberi implikasi negatif.
Walau bagaimanapun, kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim tidak lama dulu lebih mendedahkan tahap pemahamannya terhadap isu berkaitan Ikhwan.
Mengulas laporan mengenai dakwaan pembiayaan wang dari Arab Saudi kepada Anwar dan Ikhwan (yang disebut Muslim Brotherhood, berdasarkan laporan media dan diterjemah oleh sebuah akhbar pro-Umno sebagai Persaudaraan Islam), Zahrain menggesa siasatan dilakukan, dengan mengaitkannya dengan keselamatan negara.
Pandangan Zahrain itu, yang diterbitkan dalam blognya, turut mendedahkan pemahaman yang amat sedikit – atau hampir tiada – tentang Ikhwan al-Muslimin dalam politik Mesir.
Tanpa sebarang ulasan mendalam, Zahrain telah menyifatkan Ikhwan dengan sangat negatif, selari dengan pandangan-pandangan di Barat yang terus mengaitkan Ikhwan dengan terorisme dan kumpulan al-Qaeda.
Sekiranya kenyataan Najib boleh disifatkan sebagai usaha berlebihan untuk memenangi sokongan Barat, kenyataan Zahrain kelihatan semata-mata berdasarkan usaha untuk menyerang Anwar.
Kedua-duanya jelas sekali tidak berdasarkan pemahaman tentang kompleksiti gerakan Ikhwan al-Muslimin.
Kenyataan-kenyataan Najib dan Zahrain itu memperlihatkan sikap-sikap oportunis dalam politik yang mendedahkan kelemahan sendiri.
Bagi Najib, hal ini semakin menjelaskan kesukaran mengimbangi tuntutan antarabangsa dengan sensitiviti politik di dalam negara.


Saman ekor: Ketahui hak anda
Zulhazmi Shariff
Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua warganegara dijamin hak yang sama.
Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan
Hak terhadap harta.
(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.
Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta.
Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut.
Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.
Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.
Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.
Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman sehingga hari ini 28/2/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA?
Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu. Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap suapaya OKS hadir mahkamah. Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mangakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga samann itu. Tidak tertunggak.
Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.
Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenalai dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju. Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran. Dendan hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah.
Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda... TIADA SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda Mampu Mengubahnya.
Bagaimana JPJ boleh menhalang pembaharuan cukai jalan?
1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010
JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis.
Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI?
2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010
JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman. Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI
3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010
Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik?
Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh:
a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang.
b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul.
c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan kenderaan.
Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE)




Seruan untuk pengundi Merlimau dan Kerdau
Nik Abdul Aziz Nik mat
Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Bersama PAS-Pakatan Rakyat
Salam Sejahtera.
“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Maksud Al-Quran, al-An’am 6:162)
Sesungguhnya, segala puji-pujian kepada Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam untuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Pesuruh Allah pengakhir zaman.
Didoakan kepada semua pengundi, sanak-saudara dan kaum keluarga warga Dun Merlimau dan Dun Kerdau berada dalam selamat dan sejahtera dengan izin Allah, Tuhan Yang Maha Esa.
Tuan-puan dan Saudara-saudari yang dihormati sekalian.
Bersempena dengan pilihan raya kecil N.27 Merlimau, Melaka dan N.28 Dun Kerdau, Pahang ini, saya dengan ini mengambil kesempatan untuk menyampaikan seruan ingatan kepada diri saya dan pengundi sekalian yang berkebetulan berlaku dalam bulan sambutan Maulidur Rasul 1432H. Maka, ambillah pengajaran daripada sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat bukannya laknat kepada sekalian alam. Mengamalkan ajaran Nabi baik dari segi ibadatnya, mahu pun segenap urusan hidup (mauamalat) adalah pelengkap kepada mencapai keberkatan di akhirat nanti. Oleh kerana itu, kita kena bergantung kepada Islam di dalam segala-gala segi perjuangan hidup. Ajaran Nabi Muhammad SAW sendiri tidak menerima perjuangan atas nama bangsa Arab, yang diterima hanyalah perjuangan atas nama keimanan yang hakiki terhadap Allah, Rasul dan hari akhirat. Selari dengan firman Allah:
“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjidilharam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayat petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Maksud Al-Quran, At-Taubah 9:19)
Justeru Islam mengutamakan iman bukannya perbuatan. Atas kebenaran ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW inilah, maka setiap apa yang kita buat hendaklah berserta dengan niat yang tulus di atas dasar keimanan.
Oleh itu, menghadapi pilihan raya kecil ini, saya mengajak para pengundi sekalian tetapkan niat dan iman semasa menggunakan hak mengundi “untuk ubah nasib hidup kita, demi menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.”
Sesuai dengan niat tersebut, maka ubahlah kepercayaan kita dari mempercayai hanya Umno sahaja yang boleh memerintah dan membawa pembangunan, kepada memberi kepercayaan kepada PAS-Pakatan Rakyat yang juga boleh memerintah dan membawa pembangunan kepada bangsa, agama dan tanah air. Ini kerana parti Islam PAS sudah lebih 20 tahun berjaya sebagai sebuah kerajaan yang memerintah dan membangunkan rakyat dan negeri di Kelantan. Dan kini kejayaan itu turut berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Bagi PAS di Kelantan, kejayaannya adalah kerana mengamalkan dasar pentadbiran Islam berteraskan prinsip ubudiah (keyakinan kepada Tuhan), mas’uliah (penuh tanggungjawab mengikut kehendak agama) dan itqan (melakukan yang terbaik) yang selari dengan kehendak syariat. Justeru itu, Kerajaan Negeri Kelantan berjaya dengan rekod bersih, tiada amalan rasuah, berintegriti, bebas dari riba dan subur dengan hasil mahsul anugerah Tuhan. Malah berkat pentadbiran Islam, semua lapisan kaum hidup dengan aman, damai dan sejahtera berpandukan agama.
Ia sebagai bukti betapa syariat Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini berjaya mendidik pentadbir, pemimpin dan rakyat terus berpegang teguh kepada agama. Falsafah ini adalah selari dengan doa iftitah yang kita baca di permulaan sembahyang:
“Sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku adalah kerana Alllah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam (Lillahi Rabbi ‘alami).”
Maknanya kerajaan Negeri Kelantan tetap jujur dan ikhlas mendidik semua pemimpin dan rakyat untuk mengingati tanggungjawab beragama––bersembahyang dan beribadat, dosa dan pahala serta memikirkan soal hidup dan mati. Inilah natijah perjuangan PAS yang sentiasa mendidik rakyat ke arah kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni.
Justeru Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh PAS sudah berjaya meyakinkan masyarakat semua kaum, bahawa apa yang kita laksanakan di Kelantan adalah yang terbaik, malah lebih baik berbanding dengan apa yang dibuat oleh Umno sebelum ini. Maka, Negeri Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain dalam banyak aspek pembangunan berteraskan ajaran Islam. Terbaru sekali ialah penggunaan wang syariah––dinar emas dan dirham (sistem kewangan Islam zaman Nabi Muhammad SAW), dan pemberian beras percuma kepada keluarga miskin di bawah Skim al-It’aam.
Tuan-puan dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian.
Islam mengajar kita supaya berlaku adil kepada semua pihak, termasuklah ketika bertanding dalam pilihan raya. Setiap kali PAS bertanding, prinsip yang diamalkan ialah berkempen dengan adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok. Sentiasa memberi peluang kepada pengundi untuk menggunakan kebijaksanaan dan kebebasan memilih dan mengundi PAS. Maka demi masa depan kita, undilah PAS pada kali ini. Ubahlah undi kita, dari undi Umno kepada mengundi PAS.
Sebagaimana masyarakat Kelantan yang sudah menolak perjuangan Umno dan parti Umno bukan lagi parti kerajaan. Masyarakat Kelantan menolak perjuangan kebangsaan Umno adalah kerana dasarnya yang mengasing-asingkan dan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum, dan mengenepikan nilai-nilai keadilan yang diajar oleh Islam. Oleh sebab amalan itulah, Umno telah gagal mewujudkan perpaduan sebenar di kalangan semua kaum dalam negara ini. Kegagalaan itu membuktikan perjuangan Umno tidak selari dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya. Maksudnya, kita hendaklah menerima Islam dan ke-Esaan Tuhan dengan tulus ikhlas. Hatta manusia yang berbagai-bagai bangsa itupun hendaklah disatukan di bawah satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam AS. Malangnya, ajaran seperti ini tidak diajar oleh perjuangan sekular dan kebangsaan Umno. Oleh itu, terimalah sistem Islam yang sentiasa benar dan adil untuk semua kaum.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam–tidak tali kebangsaan) dan janganlah kamu bercerai-berai .”
(Maksud Al-Quran, Ali-Imran 3:102-103),
Sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Maka, menolak perjuangan Umno-BN adalah satu tindakan betul yang sekaligus menolak perjuangan sekular dan kebangsaan.
Oleh itu, saya penuh yakin bahawa calon PAS-Pakatan Rakyat, Haji Yuhaizad bin Abdullah (Dun Merlimau) dan Hassanuddin bin Salim (Dun Kerdau) adalah calon-calon yang mesra dan rapat dengan semua lapisan pengundi. Mereka berdua cukup berpengalaman selaku pimpinan parti dan masyarakat, maka sudah pasti mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi menunaikan harapan rakyat. Dengan ini saya menyeru dan merayu kepada sekalian pengundi, terutamanya pengundi Melayu, Cina dan India, dan khasnya pengundi peneroka yang budiman lagi bijaksana, bersama-samalah kita mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat. Bulatkan hati, dengan lafaz ‘Bismillah...nama Tuhan yang Esa’ undilah Bulan pada hari Ahad, 6 Mac 2011 nanti. Keluarlah beramai-ramai untuk mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat dan jangan hiraukan ugutan dan sogokan pihak Umno-BN.
Selamat mengundi. Semoga dengan ‘sepangkah undi,’ tuan-puan dan saudara-saudari sekalian dirahmati Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
“Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Bersama PAS-Pakatan Rakyat”
*PAS UNTUK SEMUA *
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan
merangkap Mursyidul Am PAS.


Anda mampu mengubahnya
Datuk Mahfuz Omar
Datuk Solah Mat Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia semalam (23/2/2011) terus menggesa semua pemandu dan pemilik kenderaan yang dikatakan memiliki saman tertunggak supaya segera menjelaskannya pada atau sebelum 28/02/2011. Kegagalan menjelaskan saman-saman tertunggak ini akan menyebabkan pemegang lesen memandu dan pemilik kenderaan disenarai hitam dan dihalang daripada memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu bermula 1/3/2011.
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) amat kesal dengan kenyataan berbaur ugutan daripada Ketua Pengarah JPJ tersebut. Sebagai seorang penjawat awam, beliau tidak sepatutnya mengugut rakyat yang belum didapati bersalah melakukan kesalahan supaya membayar denda kepada pihak berkuasa.
KASE memohon Ketua Pengarah JPJ dan Kementerian Pengangkutan merujuk kepada kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang telah memutuskan bahawa tindakan JPJ menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) tanpa siasatan dan alasan yang wajar adalah salah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Malaysia.
KASE sedia maklum alasan JPJ tidak mematuhi keputusan kes Mahkamah Tinggi Kuching tersebut tetapi berpendapat bahawa alasan JPJ tidak mematuhi keputusan kes tersebut adalah salah dan menghina Mahkamah. JPJ beranggapan bahawa kes Mahkamah Tinggi Kuching tersebut hanya terpakai kepada pemohon di dalam kes tersebut adalah salah. Alasan JPJ bahawa kes tersebut diputuskan sebegitu kerana isu saman di dalam kes tersebut mempunyai keraguan juga adalah tidak tepat.
KASE ingin memperbetulkan anggapan JPJ dan seterusnya memaklumkan rakyat Malaysia keseluruhannya bahawa keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang tersebut adalah berdasarkan pemakaian Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 yang digunakan oleh JPJ ke atas semua pemilik kenderaan untuk menyekat urusniaga dalam memperbaharui cukai jalan. Yang Arif Abdul Aziz Rahim memutuskan seperti berikut:-
The language in s. 17(1)(d) of the RTA should be given a strict and narrow interpretation to avoid injustice done to motorists in that the expression “outstanding matter or case with the RTD or the police relating to any contravention of or offence against the RTA or the CVLBA” should be confined only to a matter or case that has gone to court and in which the applicant had failed to appear to answer the charge on the offence or contravention for which the summons was issued, and also to a matter or case under investigation by the RTD or the police and pending the outcome of such investigation. In this case, there was no evidence that the 2nd respondent had satisfied himself that the applicant had been charged in a court of law for the offence stated in exh. L2 or whether the offence alleged had been proven in a court of law against the applicant.
“Perkara yang belum selesai” hendaklah ditakrifkan sebagai sesuatu perkara yang telah dibawa ke mahkamah dan yang dituduh tidak hadir membela diri. Ini takrifan yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuching. Justeru apa alasan JPJ dan Kementerian Pengangkutan menyenarai hitam pemilik kenderaan yang mempunyai Saman Ekor yang tidak pernah dihadapkan ke Mahkamah? Tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan hanyalah semata-mata untuk memaksa mereka mengakui kesalahan dan seterusnya membayar kompaun. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadialan segajat di mana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Tindakan ini juga disebut di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang tersebut.
The blacklisting of the applicant was tantamount to compelling the applicant to admit to the alleged offence and pay the compound. This conclusion seemed to have the support of the Federal Counsel when she told the court that the purpose of s. 17(1)(d) of the RTA is to ensure that a person issued with a traffic summons pays the summons. Clearly, therefore, such purpose of the statutory provision would be an affront to the basic principle of criminal law that a person is presumed innocent until proven guilty.
Ini juga diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Datuk Abdul Rahim Bakri di dalam jawapan lisannya di Dewan Rakyat pada 30/6/2010.
Langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan, khususnya JPJ ialah melalui inisiatif NKRA yang sedang dilaksanakan sekarang ialah kita sedang mengambil tindakan untuk mengutip saman-saman ini, misalnya melalui tindakan menyekat urus niaga seperti pembaharuan-pembaharuan road tax dan juga lesen memandu untuk membolehkan pemandu-pemandu ataupun pengguna atau pemilik-pemilik kenderaan membayar saman iaitu berasaskan kepada peruntukan seksyen 115, Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemandu yang tidak dapat dikesan.
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan jawapan Timbalan Menteri ini dengan jelas membuktikan bahawa tindakan menyenarai hitam dan menghalang pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu ini semata-mata bertujuan memaksa pengguna dan rakyat mengakui kesalahan dan membayar kompaun. Ini suatu bentuk paksaan dan penindasan terhadap rakyat yang semakin hari semakin dihimpit dengan peningkatan harga barang, harga minyak dan pendapatan yang tidak seberapa.
Justeru KASE mendesak Kemnterian Pengangkutan dan JPJ untuk menghormati keputusan Mahkamah seterusnya menarikbalik tindakan menyenarai hitam dan menghalang pengguna memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.
Kepada rakyat Malaysia amnya dan pengguna-pengguna yang dinafikan hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, KASE ingin menjelaskan bahawa anda semua dijamin hak oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan menggunakan harta benda termasuk kenderaan. Tindakan JPJ menghalang anda memperbaharui cukai jalan adalah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Jika anda dinafikan hak memperbaharui cukai jalan atau lesen memandu, JPJ perlu memberikan alasan bertulis kepada anda di atas penafian itu. JPJ tiada hak menafikan rakyat menggunakan harta mereka. Sebarang perlaksanaan undang-undang perlulah mengikut undang-undang bukan dengan sewenang-wenangnya. Bagi rakyat yang dinafikan hak mereka untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, mereka boleh menuntut gantirugi di Mahkamah terhadap JPJ di atas kehilangan penggunaan kenderaan mereka yang dijamin oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. KASE sentiasa bersedia untuk membantu golongan tertindas ini samada melalui khidmat nasihat atau tindakan undang-undang terhadap JPJ.
Akhirnya KASE ingin menegaskan bahawa pendirian KASE menentang tindakan senarai hitam dan Saman Ekor ini bukan bermaksud KASE menggalakkan pemandu kenderaan tidak mematuhi undang-undang. Undang-undang dan peraturan jalanraya hendaklah dipatuhi semua pihak termasuk pihak berkuasa yang menguatkuasakannya. Apa yang ditentang oleh KASE adalah penguatkuasaan yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada. Justeru kepada pengguna-pengguna jalanraya yang teraniaya, sama-samalah kita teruskan bantahan agar saman ekor yang lama dihapuskan. Bantah terus bantah sehingga kerajaan dan JPJ menghapuskannya. ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!
Datuk Mahfuz Omar,
Pengerusi
Jawatankuasa kempen Anti Saman Ekor (KASE)

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Isu pluralisme digembar-gemburkan oleh sesetengah media dalam negara ini. Apakah tujuan sebenar, saya kurang pasti. Namun, apa pun dalam dunia terbuka hari ini, isu-isu pemikiran memang tidak dapat dielakkan. Cumanya, dalam membahas isu sebegini, ada yang ikhlas, ada yang berpolitik dan ada yang mengambil kesempatan tertentu.

Jika kita lihat isu ‘Valentine’s Day’, ramai yang membantah atas alasan ia tiada dalam Islam. Menariknya,‘hari ibu’, ‘hari bapa’, ‘hari buruh’, hari pesakit aids dan seumpamanya juga tiada dalam ajaran Islam tapi tidak dibantah. Jika ada yang menyatakan ‘Valentine’s Day’ memberikan kesan negatif kepada masyarakat, sambutan tahun baru dan kemerdekaan pun apa kurang.

Betapa ramai yang mengambil kesempatan pada malam-malam tersebut untuk bermaksiat. Namun, tidak kuat sangat bantahan terhadapnya. Ya, kita bersetuju dengan bantahan sambutan Valentine’s Day untuk orang Islam, namun kita mesti memberikan justifikasi yang jelas. Apabila ada agenda yang tidak jelas, masyarakat akan kehairanan terhadap banyak asas tindakan yang dikaitkan dengan Islam ini.

Saya melihat ada seorang dua yang menulis tentang pluralisme di media tertentu dan seminar mereka ini diwar-warkan oleh media tertentu. MB Kelantan turut dikaitkan dengan pluralisme. Menariknya, ada yang lantang tentang pluralisme ini dalam masa yang sama menganut dan mengiktiraf ‘wahdatul wujud’ ala Ibn ‘Arabi iaitu kesatuan antara Tuhan dan makhluk dalam makam kerohanian. ‘Wahdatul wajud’ ini kepercayaan yang dikongsi oleh banyak agama dalam pelbagai tafsiran. Tidaklah pula mereka menganggap diri mereka telah jatuh ke lembah pluralisme agama. Maka, sekali lagi pelbagai persoalan timbul tentang isu pluralismeyang dibangkitkan oleh kelompok tarekat ini.

Lebih daripada itu, mereka tidaklah lantang ketika tokoh-tokoh politik yang ‘membela’ mereka melakukan upacara ritual agama lain dalam perayaan tertentu. Sebaliknya mereka yang memuja dan memuji tokoh-tokoh politik dengan pelbagai nas agama.

Pluralisme dan Relativisme

Adakah ‘pluralisme agama’ ini kufur atau tidak? Sebenarnya, ini tidak dapat dijawab melainkan kita terlebih dahulu jelas apakah yang seseorang itu faham dari pluralisme agama atau ‘religious pluralism’ tersebut. Jika dia memahami pluralisme itu menganggap semua agama itu sama nilaian di sisi Tuhan, kebenaran itu dikongsi secara bersama atau kebenaran itu relative maka itu pastinya bertentangan dengan akidah Islam dan membawa kepada kekufuran. Ini bererti kefahaman pluralisme ini menyamai kefahaman relativisme.

Namun, jika dia menganggap bahawa pluralisme bererti mengiktiraf kepelbagaian agama, cuba memahami lebih mendalam antara satu sama lain dan bersikap bertolak ansur tanpa menggadaikan prinsip-prinsip akidah Islam terutamanya hanya Islam sebagai agama Allah, maka itu tidak membawa kepada kekufuran. Di sini bererti, kefahaman pluralisme ini tidak sama dengan relativisme yang menganggap kebenaran adalah sesuatu yang relatif.

pluralisme.jpg
Maka, isu pluralisme ini bergantung kepada tafsiran pihak yang berbicara. Setiap pihak mempunyai kefahaman yang tersendiri tentang hal ini. Diana L. Eck (Harvard University) menyatakan pluralisme tidak sama dengan relativisme. Pluralisme tidak menuntut seseorang meninggalkan identiti dan tanggungjawab. Juga tidak semesti bersetuju dengan semua yang diperkatakan oleh pihak yang lain. Namun bersetuju untuk berbincang, memberi dan mendengar pandangan pihak lain.
Katanya:
“pluralism is not relativism, but the encounter of commitments. The new paradigm of pluralism does not require us to leave our identities and our commitments behind, for pluralism is the encounter of commitments. It means holding our deepest differences, even our religious differences, not in isolation, but in relationship to one another..pluralism is based on dialogue. The language of pluralism is that of dialogue and encounter, give and take, criticism and self-criticism. Dialogue means both speaking and listening, and that process reveals both common understandings and real differences. Dialogue does not mean everyone at the “table” will agree with one another. Pluralism involves the commitment to being at the table with one’s commitments” (http://pluralism.org/pages/pluralism/what_is_pluralism)
Apa yang penting bukan istilah-istilah ini tetapi kepercayaan atau akidah seseorang muslim berkaitan hal ini. Jika dia percaya semua agama adalah berkongsi kebenaran yang sama, atau kebenaran itu sesuatu yang subjektif, boleh dilihat pada dimensi yang berbeza, maka itu pluralisme yang kufur. Jika dia menganggap hanya Islam agama wahyu yang diiktiraf di sisi Allah, namun kepelbagaian agama adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, manusia mesti belajar memahami antara satu sama lain, berbincang dengan cara yang baik, sudi untuk berdialog dan menyemakkan sikap dan tindakan, maka ini tidak kufur. Bahkan itulah yang dilaksanakan oleh sarjana Islam yang terbilang.
Prinsip Islam
Isu ini hendaklah ditangani dengan asas ilmu, bukan dengan fanatik, atau kepentingan politik. Realiti atau hakikat Islam dan kehidupan masyarakat manusia itu hendaklah difahami. Di sini saya sebutkan beberapa asas penting untuk kita fahami;
i. Seorang muslim wajib beriktikad bahawa hanya Islam yang diterima di sisi Allah. Islam itu agama Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh para nabi sebelum baginda. Firman Allah (maksudnya):
“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan mereka yang rugi”. (Surah Ali-‘Imran, ayat 85).
Maka, muslim tidak percaya semua agama sama di sisi Allah di sudut kebenaran dan wahyu. Ini soal akidah. Namun bukanlah bererti Islam membezakan manusia di sudut keadilan dan hak kemanusiaan.
ii. Pun begitu, Islam mengiktiraf kewujudan agama lain dan hak mereka untuk berpegang dengan apa yang mereka yakin. Maka Islam menegaskan: (maksudnya)
“Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)” (Surah al-Baqarah ayat 256).
Ayat ini diturunkan kepada golongan Ansar di mana dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau dikristiankan. Apabila Islam datang, mereka ingin memaksa anak-anak mereka menganut Islam, maka Allah melarang mereka berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan. Lalu diturunkan firmanNya tadi. Kata Ibn ‘Abbas:
“Ada seorang wanita yang tidak dapat mengandung. Dia bernazar jika dia dapat anak, dia akan jadikannya beragama yahudi. Apabila Yahudi Bani Nadir dihalau keluar dari Madinah, ada dalam kalangan mereka anak-anak golongan Ansar. Kata ibubapa mereka: “Kami tidak akan biarkan anak-anak kami mengikut mereka, maka Allah turunkan ayat: “ (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).
Demikianlah ajaran Islam. Jika ibubapa pun tidak boleh memaksa agama anak sendiri, inikan pula orang lain.
islam.jpg
iii. Islam tidak memusuhi pengikut agama lain hanya kerana perbezaan agama. Bahkan muslim disuruh berbuat baik kepada mereka yang tidak menzahirkan permusuhan kepada Islam. Firman Allah (maksudnya):
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9).
iv. Islam mengiktiraf kebaikan yang ada pada agama lain dan pengikutnya seperti mengiktiraf halalnya sembelihan Yahudi dan Kristian dan keizinan berkahwin dengan wanita mereka. Ini disebut dalam Surah al-Maidah ayat 5. Demikian Islam mengiktiraf kebaikan yang ada pada golongan paderi Kristian. Firman Allah:
“..demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak sombong” (Surah al-Maidah: 82)
v. Islam melarang penganutnya menzalimi penganut agama lain. Perbezaan tidak boleh membawa kepada penindasan dan kezaliman. Firman Allah (maksudnya) :
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: ayat 8).
vi. Islam menggalakkan dialog dalam suasana yang harmoni dan baik. Firman Allah (maksudnya).
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125)
Maka isu pluralisme hendaklah ditangani dengan ilmu, bukan fanatik atau kepentingan politik, tetapi hendaklah realitik dengan asas Islam dan kehidupan manusia.

No comments:

Post a Comment