Sunday, March 6, 2011

CORETANKU 391

BILA DAH HILANG SIFAT PERI KEMANUSIAAN...SEMATA2 KUASA DAN KEMEWAHAN...SEDANGKAN UMUR SEMAKIN TUA...KESIANLAH ORANG AWAM@RAKYAT

Bekas penari dedah kehidupan mewah anak Gaddafi


DAFINKA MIRCHEVA, (atas kanan) SAADI GADDAFI


LONDON - Seorang bekas penari kelab malam, Dafinka Mircheva berusia 21 tahun dan berketurunan Bulgaria mendedakan kehidupan mewah Saadi yang merupakan anak pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, lapor akhbar Mailonline kelmarin.
Menurutnya, Saadi membayar sebanyak £500,000 (RM2.46 juta) untuk kumpulan Pussycat Dolls membuat persembahan pada hari ulang tahun kelahiran anak Gaddafi itu yang turut dihadirinya.
Gadis tersebut berkata, anak Gaddafi yang berusia 31 tahun itu juga menawarkan kokain dan memukul pembantu-pembantunya.
Dafinka menyatakan, pembantu-pembantu Gaddafi memberitahunya bahawa Saadi membelanjakan £170 juta (RM837.46 juta) setahun untuk mengembara dengan jet peribadi, menginap di hotel lima bintang, membeli kereta sport, mengupah penari tiang, membeli barang kemas dan pakaian.
"Dia selalu mempunyai beg hitam yang mengandungi ribuan wang tunai.
"Jika dia (Saadi) mengembara, dia akan menghubungi pihak kedutaan dan kakitangan kedutaan itu akan menghantar lebih banyak wang ke hotelnya," kata gadis tersebut.
Menurut Dafinka, dia menjalin hubungan dengan Saadi selepas mereka bertemu pada 2004.
Anak Gaddafi itu memberikannya hadiah.
Dia yang sudah beristeri masih mahu melamar Dafinka.
Saadi merupakan bekas pemain bola sepak profesional di liga Itali.
Selepas berkenalan, Saadi memberikannya barang kemas Bulgari bernilai £20,000 (RM98,525), subang, sebentuk cincin dan rantai leher dihiasi berlian.
Pada 2005, dia bersetuju untuk keluar dengan anak Gaddafi itu.
Mereka menonton filem Four Brothers di sebuah pawagam di Champs-Elysees, Perancis.
Dafinka berkata, semasa mereka berkenalan, dia berbual dengan anak Gaddafi itu di dalam sebuah bilik peribadi tetapi tidak pernah diminta menanggalkan pakaian semasa dirinya menjadi penari di sebuah kelab malam.
Menurutnya, semasa dia menemuinya pada tahun lalu, Saadi kelihatan enggan berbual mesra.
Dafinka berkata, Saadi membelinya pakaian berharga £25,000 (RM123,156).
Anak Gaddafi itu dikatakan mempunyai sebuah kereta Bugatti Veyron bernilai £1 juta (RM4.92 juta).
"Kali terakhir saya melihatnya ialah pada November lalu. Dengan apa yang berlaku di Libya, kemungkinan saya tidak akan melihatnya lagi," katanya.
Libya kini dilanda pergolakan apabila sejumlah rakyat menentang pemerintahan Gaddafi dan mereka menuntutnya meletakkan jawatan. - Agensi

Lapan askar Britain ditahan di Libya

LONDON - Lapan anggota pasukan perkhidmatan rahsia Britain (SAS) ditangkap oleh kumpulan penentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di Libya.
Seorang jurucakap penentang menyatakan, beberapa askar Britain dan seorang diplomat ditahan selepas mereka mendarat di kawasan yang dikuasai para penentang Gaddafi.
Menurut sumber-sumber yang memberitahu stesen televisyen Sky News, askar-askar dan diplomat tersebut ditahan di bandar kedua terbesar di Libya, Benghazi.
Campur tangan anggota-anggota SAS dalam pertempuran di Libya yang berlaku sejak bulan lalu itu mencetuskan kemarahan para penentang Gaddafi.
Para penentang Gaddafi yang terdiri daripada orang awam itu dan askar-askar yang berpaling dadah bimbang sebarang campur tangan kuasa asing dalam pertempuran tersebut.
Kebimbangan itu berdasarkan kepada sikap Gaddafi yang mungkin menjadikan campur tangan negara luar bagi meningkatkan sokongan orang awam terhadap rejimnya.
Gaddafi yang sudah memerintah hampir 42 tahun memang terkenal dengan tindakannya yang suka mengkritik negara-negara Barat.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Britain, Liam Fox mengesahkan bahawa satu pasukan diplomatik kecil dari negaranya berada di Libya.
Beliau yang enggan mengulas lanjut menjelaskan bahawa kehadiran pasukan itu adalah untuk berbincang dengan pihak penentang. - Agensi

Pertempuran makin sengit



TRIPOLI: Tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi semalam melancarkan serangan balas untuk menawan semula bandar yang dikuasai tentera pemberontak.
Pada masa sama, bunyi tembakan senjata automatik kedengaran di sekitar Tripoli.

Semangat tentera Gaddafi dalam menghadapi kebangkitan meluas dan keupayaan mereka untuk melancarkan serangan balas meningkatkan kebimbangan Libya akan berdepan dengan perang saudara yang berpanjangan.
Ketika serangan dilancarkan dan pertempuran sengit berlaku, seorang jurucakap kerajaan mendakwa rejim itu mencapai beberapa kemenangan.

Tembak menembak meletus di Tripoli sejurus selepas subuh, diekori dengan bunyi siren ambulans, sorakan pro-Gaddafi dan hon kereta yang membingitkan.

“Ia adalah perayaan kerana tentera kerajaan berjaya menguasai seluruh kawasan menuju ke Benghazi dan dalam proses untuk mengambil alih semula daerah itu,” kata Mussa Ibrahim, merujuk kepada bandar kedua terbesar negara itu yang dikuasai pemberontak.

“Semuanya selamat. Tripoli 100 peratus di bawah kawalan kami,” katanya.

Bagaimanapun, dia menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar melihat perayaan itu.
Sementara itu, di Ras Lanuf, pemberontak mendakwa berjaya menembak jatuh sebuah helikopter tentera Gaddafi. Tiga anggota pemberontak berkata, mereka melihat helikopter itu jatuh ke laut.

Televisyen Libya pula melaporkan, tentera kerajaan berjaya menawan semula bandar penting tepi laut, Zawiyah dan Misrata yang terletak bersebelahan barat dan timur Tripoli. Bagaimanapun, seorang penduduk bertegas menyatakan, Misrata masih dikuasai pemberontak sementara seorang anggota kumpulan penentang berkata, mereka berjaya mematahkan serangan baru tentera Gaddafi di Zawiyah. - Reuters

2 terbunuh di Bin Jawad



RAS LANUF: Pertempuran antara pemberontak Libya dengan penyokong pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi di garisan hadapan di Bin Jawad menyebabkan dua orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera semalam.
“Dua orang terbunuh dan kira-kira-kira 30 cedera, tiga daripadanya parah,” kata Abdrabou al-Zheiti, doktor di Hospital Ras lanuf.

Menurutnya, masih ada mangsa yang tiba di hospital berkenaan.
Seorang lagi doktor berkata, jumlah mangsa yang cedera lebih tinggi, termasuk seorang wartawan Perancis yang dipercayai cedera ringan.

Terdapat dua orang terbunuh dan antara 40 hingga 45 cedera,” kata Sami al-Saiti. “Mereka terdiri daripada pemberontak Libya, kecuali wartawan Perancis itu.” Pasukan pemberontak berundur dari Bin Jawad berikutan pertempuran itu dengan alasan tidak mempunyai senjata secukupnya untuk berdepan dengan tentera Gaddafi. - AFP

Gaddafi pakar psikologi hebat

KIEV: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berada dalam keadaan sihat dan beliau pakar psikologi yang hebat, kata seorang jururawatnya warga Ukraine kepada sebuah rangkaian televisyen tempatan.
Jururawat berkenaan yang hanya dikenali sebagai Oksana meninggalkan Libya hujung bulan lalu ketika tentera Gaddafi berusaha menumpaskan pemberontakan yang mengancam pemerintahannya.
Oksana dalam wawancara itu juga menafikan dakwaan kononnya pemimpin Libya itu mempunyai hubungan intim dengan jururawatnya.

Menurutnya, dia mula bekerja dengan Gaddafi selepas ditemuduga sendiri oleh pemimpin berkenaan. — Reuters

Lagi pertempuran di Libya

RAS LANOUF, Libya 6 Mac - Helikopter tentera prokerajaan melepaskan tembakan ke arah tentera pemberontak yang bergerak menuju ibu negara ini di sepanjang kawasan pesisir pantai Mediterranean, menyaksikan kedua-dua pihak terlibat dalam beberapa pertempuran tegang.
Pertempuran dilapor berlaku di dua bandar yang terletak sejauh 30 kilometer setiap satu iaitu Ras Lanouf dan Bin Jawad di barat Libya.
Menurut doktor, pertempuran di Bin Jawad mengakibatkan dua maut sementara 30 yang lain dilaporkan cedera.
Pemberita Associated Press di tempat kejadian melaporkan, penyokong pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berjaya menawan semula Bin Jawad, kira-kira 160 kilometer di timur Sirte yang juga kubu kuat pemimpin tersebut.
Pemberita turut menyaksikan serangan udara oleh helikopter yang disasarkan ke arah tentera pemberontak serta serangan bertubi-tubi di jalan raya.
Sementara itu di Tripoli, beribu-ribu penyokong Muammar Gaddafi berhimpun di jalan-jalan di Tripoli yang juga kubu kuat pemimpin itu, sambil mengibarkan bendera dan melepaskan tembakan ke udara bagi meraikan kejayaan mereka menawan kembali dua bandar yang sebelum ini dikuasai pemberontak.
Pihak berkuasa Libya berkata, bunyi tembakan senjata berat yang tidak biasa didengar itu bermula kira-kira pukul 5.30 pagi waktu tempatan bagi meraikan kejayaan tentera kerajaan menawan semula pelabuhan minyak Ras Lanouf di tengah Libya dan bandar Misrata di barat negara ini.
Penduduk di kedua-dua bandar itu bagaimanapun memberitahu, kumpulan pembangkang masih mengawal bandar tersebut.
Seramai 2,000 orang berhimpun di jalan-jalan Tripoli hari ini dan beratus-ratus lagi melalui jalan raya berhadapan kem tentera Bab al-Aziziya iaitu tempat Gaddafi tinggal sambil mengibarkan bendera, bersorak dan melepaskan tembakan ke udara.
Bunyi tembakan awal pagi itu kedengaran di Tripoli ketika konflik di Libya semakin meruncing, sekali gus memberi isyarat tentang kemungkinan pertempuran ganas terus berlaku dan berpanjangan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan dan boleh mengheret negara ini ke kancah perang saudara. - AFP


Gaddafi mahu PBB, AU siasat pergolakan Libya

Muammar Gaddafi


PARIS 6 Mac - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Kesatuan Afrika (AU) menjalankan siasatan mengenai kekacauan yang menggegarkan Libya dan berjanji penyiasat akan diberi kebebasan penuh.
Gaddafi dalam wawancara yang disiarkan hari ini membuat tuntutan pertama seumpamanya sejak meletus protes ganas menentang rejim beliau.
Beliau turut memberi amaran kekacauan tersebut boleh mendatangkan bencana bagi Eropah.
"Pertama sekali, saya mahu sebuah suruhanjaya siasatan PBB atau AU datang ke Libya.
"Kami akan membenarkan panel itu menjalankan tugas tanpa halangan," katanya kepada akhbar Perancis, Le Journal du Dimanche.
Beliau memberi sokongan kepada Perancis untuk 'menyelaraskan dan mengetuai' badan siasatan itu.
Sebelum ini anak Gaddafi, Seif al-Islam juga pernah menggesa supaya siasatan dalaman yang bebas dilancarkan mengenai kekacauan itu.
Gaddafi berkata, pemberontakan yang menimbulkan cabaran terbesar terhadap pemerintahannya akan membawa kesan meluas terhadap Eropah, yang telah bergelut untuk menyekat kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya dari Afrika Utara dan Asia.
"Beribu-ribu penduduk dari Libya akan membanjiri Eropah dan tidak ada siapa yang akan menghalang mereka," ujar beliau.
Pemimpin veteran itu mengulangi dakwaannya, pemberontakan menentang rejimnya didalangi oleh rangkaian al-Qaeda.
"Kamu menghadapi suatu jihad dari Mediterranean, Osama bin Laden akan berkuasa di Afrika Utara dan Osama akan menunggu di pintu pagar kamu," katanya. - AFP

Komando SAS Britain ditahan di Libya

LONDON 6 Mac - Lapan komando pasukan tentera khas Britain ditawan oleh tentera pemberontak di timur Libya.
Komando Perkhidmatan Udara Khas (SAS) itu mengiringi seorang diplomat Britain berpangkat rendah yang berharap untuk menemui pemimpin tentera pemberontak, lapor akhbar Sunday Times hari ini.
"Kami tidak mengesahkan atau menafikan laporan itu dan kami tidak mengulas tentang pasukan khas," menurut satu kenyataan Kementerian Pertahanan Britain.
Sebuah pertubuhan hak asasi manusia berpangkalan di Geneva juga berkata, pihaknya mengetahui satu pasukan tentera khas ditawan oleh pemberontak Libya tetapi tidak tahu tentang kerakyatan mereka.
Menurut Times, pemberontak membawa askar SAS itu ke Benghazi, bandar raya terbesar yang dikuasai penentang kerajaan.
Persatuan Akhbar UK berkata, campur tangan SAS itu telah membangkitkan kemarahan pemimpin pembangkang Libya yang mengarahkan komando terlibat ditahan di sebuah kem tentera
Penentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi bimbang beliau boleh menggunakan insiden itu sebagai bukti campur tangan tentera Barat supaya rakyat Libya tidak lagi menyokong kempen untuk menjatuhkan beliau.
Diplomat berpangkat rendah yang diiringi oleh komando SAS itu dilaporkan mahu melakukan persiapan untuk lawatan diplomat lebih kanan sebelum hubungan diplomatik diadakan dengan puak pemberontak.
Sementara itu pentadbiran pemberontak yang berpangkalan di Benghazi, Majlis Kebangsaan Libya berharap untuk mendapat pengiktirafan rasmi daripada beberapa negara tidak lama lagi.
"Kami telah berhubung secara rasmi dengan negara-negara Eropah dan Arab.
"Beberapa negara akan mengumumkan pengiktirafan mereka tidak lama lagi," kata ketua Majlis tersebut, Mustafa Abdel Jalil yang juga bekas Menteri Kehakiman. - Agensi

No comments:

Post a Comment