Tuesday, December 14, 2010

CORETANKU 248

SUSAH JUGA JIKA KITA FIKIR KITA YANG SAJA BAIK DAN CEKAP...ORANG LAIN TAK BOLEH BUAT LEBIH DARI KITA...JANGAN KITA KUAT TAPI ORANG MELUAT

Sandiwara di hujung hayat Umno
Nik Abdul Aziz Nik Mat

Dari katil wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya dibekalkan dengan akhbar untuk dibaca saban hari. Nampaknya isu ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO. Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas. Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung?
Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di Negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau. Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah SWT? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah SWT? Firman Allah SWT :
لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُوا عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ
Yang bermaksud : Sesungguhnya benar-benar Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus diantara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al hikmah. dan Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali-Imran : 164)
Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam. Menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam. Bila menolak Islam ertinya menolak anugerah daripada Allah SWT. Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengenepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka. Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu. Apa yang peliknya, di samping menjulang Ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab Ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengenepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia.
Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini. Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh Ketuanan Melayu. Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman. Hakikatnya, perjuangan Ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah). Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada salah seorang pemimpin UMNO Kelantan yang mendoakan kesihatan saya agar terus dapat berjuang menentang UMNO. Semoga doanya dimakbulkan Allah, insya-allah Amin.
Marilah balik kepada Islam sebagai penyelesaian yang sempurna, yang datang daripada Allah SWT. Ia sudah sempurna, tanpa cacat cela sedikitpun. Firman Allah SWT :
وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
yang bermaksud : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat merobah robah kalimat-kalimat-Nya dan dia lah yang Maha Mendenyar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-An’am, ayat 115)
Al-Quran ialah manual yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mentadbir dunia. Justeru, apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasih orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada Al-Quran. Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku. Tidak guna jika menggunakan ubat yang salah, penyakit tidak sembuh bahkan semakin melarat. Dalam hal ini, Ketuanan Melayu ialah ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.
Al-Quran menyatakan bahawa sesuatu bangsa tidak mempunyai sebarang kelebihan ke atas bangsa yang lain, yang melebihkannya hanyalah taqwa kepada Allah SWT. Renunglah sejenak sekali lagi firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)
Yang bermaksud : Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Kemuliaan tidak pernah bergantung kepada bangsa. Ia hanya wujud apabila sesuatu bangsa itu bertaqwa kepada Allah SWT. Bangsa Arab yang melakukan hampir kesemua jenis jenayah di dunia, akhirnya menjadi mulia apabila menerima Islam. Jika bangsa Arab yang sedemikian jahil itupun dimuliakan Allah SWT dengan Islam, apa peliknya jika bangsa Melayu pun boleh dimuliakan oleh Allah SWT, syaratnya berpegang dengan Islam?
Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela. Alhamdulillah, di Kelantan, saya telah menerajui kerajaan negeri selama 20 tahun dengan tidak pernah menyebut Ketuanan Melayu, namun orang Melayu tetap terbela dan terjaga. Manakala KDYMM Sultan Kelantan pula disayangi oleh semua bangsa di Kelantan. Kaum bukan Melayu pula tidak mempunyai sebarang masalah untuk berada di Kelantan. Bimbang saya andainya Ketuanan Melayu disebut-sebut dan diulang-ulang, ia hanya akan memarakkan dendam dalam diam dan membakar di dalam senyap.
Di sudut yang lain pula, Ketuanan Melayu jugalah yang telah menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah satu ketika dahulu sehingga hari ini melahirkan generasi yang buta al-Quran. Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu di’kebumikan’ secara terhormat oleh Ketuanan Melayu . Ketuanan Melayu jugalah yang menghapuskan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat dan Ketuanan Melayulah yang bertanggungjawab terhadap terhakisnya tanah rezab Melayu di seluruh negara. Jenayah Ketuanan Melayu ini sebenarnya cukup panjang untuk ditulis. Ia menyimpulkan bahawa Ketuanan Melayu tidak membawa apa-apa faedah untuk negara hatta untuk bangsa Melayu sekalipun.
Marilah kita sama-sama mengingatkan satu sama lain tentang akhirat. Akhirat yang menjadi tempat tuju samada Melayu atau bukan Melayu. Ia khusus untuk Allah SWT membalas setiap perbuatan manusia. Justeru, kita diperintahkan mengulang-ngulang peringatan ini beratus ribu kali sepanjang hidup kita melalui surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam solat. Tujuh ayat yang menjadi agenda utama hidup seorang muslim diulang baca sentiasa, dan satu daripada ialah peringatan tentang hari kiamat :
مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
Yang bermaksud : Yang menguasai di hari Pembalasan.
Yakinlah, tibanya kita di stesen yang bernama akhirat, Ketuanan Melayu tidak akan membawa apa-apa harga lagi di mahkamah Allah SWT!

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Wad 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian
6 Muharram 1432H

Kelantan lahir tenaga kerja produktif
Hafiz Irwan
KOTA BHARU, 15 Dis: Kerajaan negeri dengan kerjasama Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, hari ini mengadakan program pemeriksaan kesihatan kakitangan awam bertempat di dewan Teratai Kompleks Kota Darul Naim.

Ia bertujuan bagi menggalakkan golongan terbabit meningkatkan tahap kesedaran dalam aspek penjagaan kesihatan di samping melahirkan tenaga kerja produktif dalam sesebuah jabatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, berkata pemeriksaan kesihatan adalah penting bagi memastikan tahap kesihatan awam sentiasa berada di tahap yang baik.

"Ia juga untuk melahirkan warga kerja yang sihat dari segi fizikal, mental, sosial serta bebas darisegala penyakit atau ketidakupayaan semasa menjalankan tugas.

"Selain itu bagi meningkatkan kesedaran kepada anggota perkhidmatan awam tentang keperluan seperti menderma darah di samping mengatasi masalah kekurangan bekalan yang berterusan," katanya semasa ditemui, di sini.

Hadir sama, Pengarah HRPZ II, Dr Ghazali Hasni Md Hassan, serta seluruh pegawai dari jabatan kerajaan negeri.

Mohd Aiseri berkata, program tersebut dapat membantu lebih 500 kakitangan awam dari pejabat berkenaan membuat pemeriksaan untuk mengenali sebarang kemungkinan tanda-tanda penyakit yang terdapat pada individu masing-masing apabila menjangkau usia lanjut.

"Sekurang-kurangnya mereka tidak perlu menunggu masa yang lama untuk membuat sesuatu pemeriksaan. Perkhidmatan yang disediakan selama dua hari ini dapat membantu mereka, malah lebih daripada 500kakitangan awam di sini (pejabat kerajaan negeri)," katanya.

Beliau berkata, kejayaan kakitangan awam mengekalkan tahap kesihatan yang baik sekali gus dapat mengurangkan cuti sakit di kalangan golongan terbabit.

Antara perkhidmatan disediakan menerusi program tersebut termasuklah pemeriksaan jantung, tekanan darah, kanser servik termasukpemeriksaan tulang dan paras gula atau kolestrol dalam darah.


Ceramah Pakatan dalam pagar Wayang Kulit
Mohd Sayuti Omar
MALAM tadi walaupun dengan bertongkat saya pergi juga ke tapak pasar malam di Taman Melati untuk lihat dan dengar ceramah Pakatan Rakyat. Ceramah malam tadi adalah permulaan kepada siri penjelajahan Malaya oleh para pemimpin PR terutamanya Anwar Ibrahim. Nampaknya Anwar mempunyai masa banyak untuk pusing Malaysia selepas ini apabila parlimen menggantungkannya selama enam bulan yang akan diputuskan esok.

Itulah hikmat di sebalik penggantungan itu. Jelajah yang bermula malam tadi juga akan berakhir sehingga rapat piliahn raya umum ke 13. Banyak pihak menduga pilihan raya umum akan diadakan tahun depan. Ini berdasarkan kepada beberapa petanda jelas. Umno sendiri menangguhkan perhimpunan (pemilihan) selama 18 bulan. Manakala MCA dan DAP juga bebuat demikian.

Pas yang akan memilih pemimpin pada muktamar tahun depan juga dijangka atau lebih baik tangguhkan saja. Tetapi selalunya Pas yang terkenal dengan parti yang berdisiplin tinggi dan mempunyai ukhwah yang kental tidak akan peka dengan keadaan semasa seperti pilihan raya itu. Pas tidak perlu mengelak atau menangguhkan urusan pemilihan pemimpinnya. Selamanya Pas perlu menjadi contoh dan model.

Berbalik ke ceramah malam tadi, sesampai di taman Melati saya bersama Dr Wan Suhaimi dan Sdr Sobree (orang baru Pakatan Rakyat) tercari-cari di mana lokasi ceramah. Selepas bertanya orang dan melihat bendera parti, baru menyedari ceramah diadakan di bawah khemah yang berpagar dengan plastik berwarna biru. Begitu melihat lokasi itu teringat saya dizaman budak-budak, tempat dan keadaan sebegitu (berlikung dengan plastik) tidak ubah seperti tempat bermain wayang kulit atau dikir barat.

Kawasan wayang kulit dan dikir barat dilikung (lingkung) untuk mengelakkan orang melihatnya. Sesiapa yang hendak melihat dan dengarnya, kena ambil tikit.

Kata pengerusi majlis ceramah Pakatan malam tadi, kawasan itu terpaksa dibuat di bawah khemah yang berpagar. Ianya atas arahan polis. Bukan itu saja, masa juga dihad sehingga jam 10:30 malam sahaja. Kalau tidak ikut arahan, ceramah mungkin tidak boleh diadakan. Itu pun pengerusi berkali-kali merayu orang ramai agar memenuhi khemah dan tidak berdiri di luar bagi mengelak tindakan polis.

Selepas dijelaskan itu barulah saya faham kenapa kawasan itu berpagar seperti tempat main wayang kulit atau joget rambung. Rupanya atas kehendak polis. Apakah alasan dan hujah polis sukar difahami kenapa ceramah Pakatan itu kena pagar. Apakah ianya bagi mengelak orang ramai mendengarnya, ataupun hendak menyusah orang ramai. Atau pun polis sengaja dibuat begitu untuk mengenangkan nostalgianya di zaman kecil tengok wayang kulit.

Kalau itulah alasannya, alasan itu tidak berhasil. Walaupun dilingkung orang ramai tetap juga hadir. Di dalam tabir saya lihat penuh dengan manusia yang duduk dilantai. Mereka tidak menghiraukan keadaan selesa atau tidak. Apa yang penting dapat mengikuti dan dengar ceramah pemimpin kesayangan mereka.

Di luar pagar tidak payah ceritalah. Ada yang mengobek (menyelak) pagar untuk melihat apa yang berlaku di dalam dan ada yang duduk mencangkung atas longkang. Dan ketika ceramah sudah dihentikan jam 10:30 malam seperti mana diarahkan, orang ramai masih berduyun-duyun menuju ke tapak pasar malam itu.

Ceramah malam tadi dikira berjaya. Walaupun dalam keadaan kurang selesa, dikawal rapi oleh polis namun orang ramai tetap juga memberanikan diri untuk hadir. Dalam perkiraan saya, semua yang hadir malam tadi bolehlah dikatakan 100 peratus penyokong Pakatan Rakyat. Mereka datang bukan sangat hendak mendengar penjelasan tetapi menyatakan sokongan mereka menunjukkan iltzam mereka kepada Pakatan Rakyat.

Kalau tidak salah padang hanya seorang sahaja orang Umno yang ada malam tadi. Melilau-lilau masam musang. Itu pun sebelum ini orang ini pernah berada dalam parti Keadilan. Mungkin orang ini datang untuk memerhati dan membuat laporan kepada ibu pejabat Umno kononnya ceramah Anwar sudah tidak ada sambutan. Biasalah kerja pencari upah untuk anak dan isteri.

Kesimpulannya sekatan dan arah baru polis itu tidak banyak membantu UBN. Sebaliknya kalau pihak pengajur bijak mereka akan dapat punggut wang bila setiap kali diadakan ceramah Pakatan Rakyat kenakan tikit. Kalau nak tengok wayang kulit boleh dikenakan tikit, kenapa tidak dengan ceramah. Daripada lingkung saja tanpa ada hasil, baik kutip tikit dapat juga wangnya digunakan untuk jentera pilihan raya.

Demikianlah nasik demokrasi negara kita ianya lebih kurang demokrasi wang kulit dan dikir barat saja terpaksa dimainkan secara sembunyi-sembunyi. [wm.kl.9:10 am 15/12/10]




Golongan muda sebagai kuasa ketiga
Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Konvensyen Pakatan Rkyat pada 19 Disember ini sangat wajar memberikan perhatian kepada trend pemikiran anak muda dalam perkembangan politik tanah air dan trend pengundi atas pagar, yang dipanggil ‘Kuasa Ketiga’, selain isu lain.

Trend itu ialah: Pertama, trend pemikiran anak muda masa kini yang dilihat sangat kritikal terhadap parti pemerintah atas beberapa sebab.

Kedua, kemunculan apa yang dipanggil ‘Kuasa Ketiga’ iaitu pengundi atas pagar yang sangat penting diperhatikan justru golongan ini dilihat memiliki critical thinking yang sangat prihatin terhadap apa yang berlaku di negara sekarang.
(Gambar hiasan: Sejauh mana Pemuda PAS dapat menjiwai kehendak anak muda)

Golongan atas pagar yang baru ini mungkin tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi mereka hanya akan mengundi parti dan calon yang memenuhi cita rasa mereka. Mereka ini melihat isu dan cara mana sesuatu parti yang bertanding itu menangani isu itu. Mereka juga meneliti rekod parti pemerintah dan pembangkang.

Dua perkembangan terbaru dalam arena politik di Malaysia ini sangat wajar diberikan perhatian oleh Konvensyen Pakatan Rakyat nanti kerana ia tentunya mempengaruhi keputusan PRU Ke-13 nanti.

Dengan itu konvensyen ini wajar melihat secara objektif akan hal ini dan bagaimana menanganinya dengan bijaksana.

Penulis politik terkenal, yang juga Ketua Pengarang Harakah dalam satu tulisannya di Harakahdaily baru-baru ini mengulas mengenai trend anak muda sekarang. Beliau menulis bahawa demonstrasi membantah kenaikan melampau tarif air di Selangor baru-baru ini menunjukkan beberapa petanda menarik.

Menurutnya, penyertaan pro-aktif golongan muda untuk turut berarak dan menuntut hak - termasuk daripada kelompok mahasiswa yang secara jelas dilarang terbabit dengan apa jua kegiatan politik dalam dan luar kampus - mencuit perhatiannya.

Tanpa kehadiran mereka, kata Lutfi, kemeriahan perhimpunan mungkin terjejas teruk. Saya amat bersetuju dengan pandangan Lutfi bahawa Konvensyen Pakatan Rakyat di Kepala Batas, Pulau Pinang, hujung minggu ini wajar memberi tumpuan khas terhadap gelagat anak muda dalam berpolitik.

Kata Lutfi lagi, selain merumuskan deraf manifesto awal Pilihan Raya Umum Ke-13 dan membincangkan isu-isu kritikal yang membantut kemajuan negeri-negeri yang diperintah Pakatan, usaha menggerakkan kesedaran orang muda, sekurang-kurangnya untuk mendaftar sebagai pemilih, seterusnya terlibat aktif sebagai agen reformasi, tidak boleh dilewat-lewatkan.

Bagi saya, perkembangan dan suasana politik baru di Malaysia menuntut kebijaksanaan yang sungguh-sungguh dari pemimpin dan warga Pakatan Rakyat seluruhnya, terutama hasil dari kehadiran pelbagai media baru melalui internet dan media cetak alternatif.

Suasana tentunya sungguh berbeza dengan trend politik ketika PRU Ke-12 di tahun 2008 dulu. Ini semua, antaranya, disebabkan Umno/BN cuba ‘bangun’ kembali dari kekalahan teruknya dulu, isu perkauman yang begitu disemarakkan oleh golongan berkepentingan.

Juga tidak dapat dinafikan mengenai persepsi orang ramai kesan dari krisis yang melanda PKR – walaupun kini sudah reda, juga isu pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat serta beberapa isu lain.

Dengan itu Pakatan Rakyat, pertamanya perlu memberi perhatian sungguh-sungguh kepada golongan muda justru pengaruh mereka menyerlah kembali.

Golongan muda dan ‘Kuasa Ketiga’ ini mungkin boleh menjadi kuasa penentu akan kemenangan calon-calon dalam PRU Ke-13 nanti. Mereka ini sedang memerhatikan sungguh- sungguh perjalanan Pakatan Rakyat dan Umno/BN, terutama para calon yang akan dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Bagi kedua golongan ini mereka hanya akan memberikan undi kepada calon yang mereka lihat berwibawa, kurangnya potensi – atau tidak berpotensi sama sekali - untuk melompat, calon yang berilmu, mesra rakyat dan berfikiran terbuka serta calon yang tidak pelahap dengan pelbagai habuan atau boleh dibeli dengan wang dan ganjaran lain. Juga calon yang bukan menjadi ‘tukang sorak’ semata-mata di Dun atau Dewan Rakyat.

Boleh disimpulkan bahawa golongan generasi muda dan golongan atas pagar yang baru ini adalah golongan yang sangat kritikal. Jangan ada siapa yang berfikir bahawa mereka ini adalah ‘pengundi mainoriti’, tidak penting dan bukan penentu keputusan pilihan raya.

Seperti dikatakan tadi, kedua-dua golongan ini sangat terdedah kepada pelbagai maklumat dan sama sekali bukan ‘pelanggan’ media tradisional baik akhbar ataupun TV. Mereka golongan yang berfikir dan terbuka.

Mereka hanya mengundi calon yang boleh membawa negara ini benar-benar mengamalkan demokrasi dan adil, bersih dari segala bentuk rasuah, kronisme, nepotisme dan sebagainya serta mereka mahukan negara ini bebas dari elemen perkauman dan kelompok.

Oleh itu jika Pakatan Rakyat dapat memberikan jaminan dan menunjukkan kemampuan melaksanakan idealisme mereka ini, tidak syak lagi kedua golongan ini akan memberikan undi kepada mereka.

Di samping itu, Pakatan mestilah juga memberi perhatian sungguh-sungguh kepada pengundi tegar PAS, DAP dan PKR selama ini supaya mereka tidak lari dan dalam masa yang sama rakyat mahukan jaminan dari Pakatan Rakyat untuk memberikan komitmen sungguh-sungguh melaksanakan sebuah kerajaan yang terbaik untuk rakyat jika menang.

Sementara itu, adalah sesuatu yang tepat keputusan PAS melarang semua pihak memberi kenyataan, ulasan dan sebagainya mengenai isu negara Islam.

Kepada saya semua pihak juga perlu berhenti dari menimbulkan isu timbalan perdana menteri jika Pakatan berkuasa serta isu yang memperlihatkan perbezaan pendapat di antara pemimpin dalam dalam Pakatan, isu perkauman dan lain-lain.

Kenyataan yang keluar selama ini, walaupun tidak selalu, banyak mencederakan kewibawaan Pakatan Rakyat justru ia menjadi ‘bola tanggung’ kepada pemimpin Umno/BN dan media yang mereka kuasai untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Apa yang diharapkan ialah semua parti dalam Pakatan memberikan tumpuan serius kepada PRU Ke-13 dan tidak lagi menghabiskan masa dengan melayani masalah dalaman berlarutan.

Inilah persoalan dan hala tuju yang sangat wajar difikirkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat ini. Agenda, usul, rumusan dan rangka bertindak Konvensyen ini sewajarnya tepat dan bijaksana justru rakyat sedang menanti hasilnya.
TULISAN MENJELANG KONVENSYEN KE 2 PAKATAN SEBELUM INI
Konvensyen PR jangan layan isu perkauman oleh Ab Shukur Harun
Mengutamakan sasaran Pakatan Rakyat oleh Wan Hamidi Hamid
Harapan kepada Konvensyen Ke-2 Pakatan Rakyat oleh Ab Shukur Harun
Mempersiapkan media untuk Pakatan oleh Li Fook Gao


Pegawai Pulau Pinang RM1,300, pusat hanya RM500
Harakahdaily
IPOH, 15 Dis: Pakatan Rakyat Perak menyokong penuh usaha Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berulangkali memberi bonus kepada kakitangan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Terkini melibatkan semua 1,376 guru kelas agama fardhu ain (KAFA) di Pulau Pinang akan menikmati pembayaran khas RM100 sempena Maal Hijrah bermula minggu ini.

“Pemberian elaun tambahan dari kerajaan negeri ini merupakan insentif galakan yang bakal memacu lagi moral kerja bermutu di kalangan kakitangan kerajaan negeri Pulau Pinang,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Tambahnya lagi, seluruh kakitangan kerajaan negeri Pulau Pinang yang melibatkan beberapa jabatan menikmati tambahan pendapatan mereka, ini adalah hasil dari keputusan bijak rakyat negeri Pulau Pinang yang memilih pemimpin mereka dengan betul, syabas beliau ucapkan.

Sebelum ini bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang telah pun dibayar kepada 7,812 juta pada 1 Disember lalu, kata beliau lagi.

Sedangkan hanya RM500 yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam persekutuan, katanya

“Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini

“Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa pemberian RM500 diberikan kepada mereka yang memegang jawatan D54 ke bawah, tetapi negeri Pulau Pinang berikan semua.

“Tindakan ini dikira suatu yang amat wajar, kerajaan yang mempunyai kakitangan yang bermotivasi akan akan memberi impak positif terhadap mutu kerja untuk memenuhi keperluan serta tuntutan seluruh rakyat negeri Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya lagi yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, Kerajaan Pusat sepatutnya mencontohi tindakan kerajaan Pulau Pinang dalam soal menjaga kebajikan seluruh kakitangannya, ini adalah suatu tindakan yang amat wajar, malangnya, rakyat terus dibebankan dengan kenaikan harga barang.

“Saya menyarankan agar negeri-negeri lain di seluruh Malaysia, khususnya negeri lain di bawah Pakatan Rakyat turut mengikut jejak Ketua Menteri Pulau Pinang yang memberi berbagai bantuan kepada kakitangannya, ” katanya.

“Nampaknya Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah kepimpinan Lim Guan Eng lebih efisyen daripada Kerajaan Persekutuan dalam soal menjaga kebajikan kakitangan, rakyat sepatutnya memilih Pakatan Rakyat pada PRU 13 nanti kerana UBN gagal setelah setengah abad memerintah," ujarnya.

Tolak Najib yang cuba belakangkan demokrasi
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 15 Dis: Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar (gambar) menyeru anak muda menolak ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggap menolak sistem demokrasi di negara ini.

Firdaus berkata, ucapan Najib dalam satu majlis Sabtu lalu bahawa tidak ada parti lain boleh memerintah sekiranya Umno/Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang amat mengecewakan.

"Saya selaku pengarah pilihan raya pemuda melihat ucapan Najib ini satu ucapan membelakangi demokrasi. Seorang Perdana Menteri tidak sepatutnya bercakap begitu. Kita ada sains politik, kita ada pakar-pakar politik yang membincangkan mengenai demokrasi, dan banyak peruntukan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses demokrasi berjalan di Malaysia.

"Tapi kenyataan Perdana Menteri itu mengecewakan kita seolah-olah kalau Umno kalah tak ada siapa boleh menang. Mana boleh macam itu.

"Jadi saya mengajak anak muda untuk mengambil perhatian terhadap ungkapan ini dan saya menjangkakan akan lebih dahsyat lagi keluar dari pemimpin-pemimpin Umno yang menggambarkan kepada masyarakat kampung kalau BN kalah habis semua, hancur lebur," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Ahli Parlimen Jerai itu juga berkata, Umno/BN seharusnya membiarkan rakyat mengamalkan demokrasi dengan memilih kerajaan yang mereka mahukan, bukan mengeluarkan ungkapan-ungkapan sedemikian.

"Anak muda mesti melihat prinsip Pakatan Rakyat. Kita akan jaga demokrasi dalam negara ini. Ini jaminan kita. Tidak kisah siapa yang menang asalkan kita mengikut sistem demokrasi yang sebenar-benarnya.

"Kita nak mengajak rakyat bersama kita untuk memberi nafas baru dan politik baru kepada kerajaan Malaysia," katanya.

Tahniah kepada Guan Eng
Sementara itu,beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di atas pengumuman bayaran khas Maal Hijrah RM100 kepada kesemua 1,376 guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) di negeri itu dan bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri.

Beliau berkata, tindakan Guan Eng itu membuktikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bersungguh-sungguh menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.

"Saya ucap tahniah kepada Lim Guan Eng yang telah memberi bantuan khas sekolah sekolah dan bantuan kepada guru KAFA.

"Ini hasil kejayaan apabila rakyat memberi mandat kepada Pakatan,maka satu persatu kebajikan telah kita tonjolkan kepada rakyat. Ini juga hasil jimat cermat Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang," katanya.

Sambil menyifatkan ianya langkah bijak Guan Eng, tambahnya, bukan sahaja di Pulau Pinang kebajikan rakyat terjamin namun di negeri Pakatan yang lain juga ianya turut berlaku.

"Ini langkah bijak dan semestinya negeri lain juga ada sesuatu yang diberikan. Kalau di Kedah, pada bulan Ramadhan Menteri Besar bagi sumbangan kepada guru Al-Quran sukarela, tok bidan sukarela. Ini juga insentif yang cuba dilakukan oleh negeri Pakatan rakyat.

"Sebab itu rakyat Malaysia mesti melihat kejayaan negeri Kelantan dan negeri-negeri lain yang telah menunjukkan kejayaan demi kekayaan walaupun tidak mendapat liputan media secara meluas.

Sehubungan itu ujarnya, selepas Konvensyen ke -2 19 Disember ini, Pakatan akan memperkukuhkan media alternatif bagi bersaing dengan media milik Umno/BN dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

"Kita tak dapat liputan media yang menyeluruh tapi selepas konvensyen Pakatan ini kita akan kaji semula untuk kita mencari media alternatif kepada masyarakat iaitu media Pakatan Rakyat," katanya.



Ahmad Lutfi Othman
Tsunami politik, Mac 2008, mengundang pelbagai tafsiran. Ada menyifatkan kecenderungan mengundi rakyat Malaysia sudah tidak lagi terkepung dan terkurung dengan sentimen perkauman. Isu-isu sepanjang kempen pilihan raya ke-12 itu menjangkau persoalan sejagat sehingga istilah "politik baru", yang popular semasa pilihan raya umum 1999, kembali diperkatakan. Pengundi semakin terbuka untuk membincangkan isu-isu penting dan kritikal, sekali gus memecahkan kepompong yang sengaja diwujudkan selama ini.

Umno-BN ternyata mudah panik dan menggelabah. Memang siapa pun tidak menyangka Pakatan Rakyat (yang dibentuk secara rasmi selepas pilihan raya itu) mampu mempamerkan prestasi sebegitu cemerlang. Paling ketara, pengundi bukan Melayu (serentak Cina dan India) menolak total BN (khususnya MCA dan Gerakan). Parti yang paling beruntung dan mendapat laba besar adalah DAP. Hampir semua calonnya menang.

Tanpa menunggu lama, api perkauman cuba dimarakkan kembali. Ternyata Umno ketandusan idea segar dalam usaha merebut negeri-negeri yang kecundang. Selama ini DAP memang ditohmah sebagai parti 'chauvinist Cina'. Formula lapuk Umno seperti yang termaktub dalam kurikulum BTN - membangkitkan emosi kaum demi survival BN. Melalui media yang dikontrolnya, terutama Utusan Malaysia dan siaran berita TV, "lagu lama" yang mendakwa kepentingan Melayu terancam di bawah kerajaan negeri Pakatan, didendangkan berulang kali.

Terbaru, melihat "keterlanjuran" Dr Wan Azizah Wan Ismail mengupas konsep ketuanan Melayu, semasa membentangkan Ucapan Dasar Presiden KeADILan dalam kongres nasional tahunan ke-7, Umno terus mengekspolitasi keadaan itu semaksimum mungkin. (Dalam teks asal dinyatakan, konsep "ketuanan Melayu" ini wajib dibakulsampahkan. Ramai merasakan ia boleh menimbulkan salah tafsir jika tiada penerangan terperindi dilampirkan). Berhari-hari serangan dilakukan secara bertubi-tubi, selain mengkritik proses pemilihan kepemimpinan KeADILan, yang dilihat ada kepincangan dan menimbulkan rasa tidak puas hati ahli-ahlinya dan calon-calon yang bertanding.

Dr Wan Azizah dalam ucapannya itu menyenaraikan kepincangan Umno, dan seterusnya merumuskan: "Para pemimpin Umno bukan berjuang untuk membela orang Melayu. Parti itu hanya berminat untuk menjaga kepentingan taukeh-taukeh tertentu. ...Isu survival Melayu dan agama Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong Umno dan para konconya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika Umno benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini."

Dalam pada itu, tentulah tidak sukar untuk memalitkan wajah hodoh perkauman kepada DAP, dan langkah sasaran seterusnya adalah kepada KeADILan. Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim yang menjadi pencabar terhebat kepada hegemoni Umno-BN, menjadi target khusus. Imej Ketua Pembangkang itu mahu direndahkan ke peringkat "pengkhianat Melayu" yang sanggup "menjual" segalanya demi menggapai impian menjadi perdana menteri. Anwar sering dituduh bertindak seumpama sesumpah, yang akan bertukar rupa mengikut tempat, keadaan dan keperluan atau kepentingan! ... Ya, apa lagi istilah "jelik dan jijik" dan "sumpah-saranah" yang belum dihadapkan kepada Anwar?

BN memang diselamatkan oleh pengundi Melayu pada 2008. Sebahagian besar masyarakat bukan Melayu melakukan menggunakan sepenuhnya peti undi demi "mengajar BN". Perancang kempen BN mungkin menjangkakan, walaupun pelbagai "pembaharuan" cuba dilakukan Najib Razak untuk menarik kembali sokongan pengundi bukan Melayu, namun keberhasilannya cukup-cukup diragui. Jadi, BN tidak mahu terlepas daripada terus mendakap undi orang Melayu, dengan formula mudah, iaitu dengan terus menonjolkan imej sebagai "juara Melayu".

Jalan singkat adalah dengan mempamerkan situasi seolah-olah kepentingan orang Melayu begitu terancam dan tergugat. Melayu yang masih ketinggalan jauh (walaupun selepas diperintah BN lebih 50 tahun) digambarkan dalam kedudukan kritikal di negara sendiri. Sudahlah lemah, parti-parti politik di luar BN, khususnya DAP dan KeADILan, didakwa tidak pernah menjunjung hasrat untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu. Malah, parti-parti berkenaan ditohmah tidak mendokong peruntukan Perlembagaan mengenai hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan seumpamanya. PAS pula dilabelkan sebagai parti pak turut yang begitu lemah sehingga boleh diperkotak-katikkan oleh KeADILan dan DAP.

Ditinjau kempen Umno-BN selama ini, apa yang berlaku itu sudah dapat diduga. Tengku Razaleigh Hamzah, semasa mengetuai Team B menentang Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan Umno, April 1987 dan ketika bersama PAS (membentuk Angkatan Perpaduan Ummah) dalam pilihan raya umum 1990, juga tidak terlepas daripada dilabelkan tuduhan hampir sama. Umno menyedari bahawa majoriti orang Melayu - yang masih ketinggalan dalam banyak bidang kehidupan di bawah pemerintahannya sejak merdeka - mudah dicuit emosi hanya dengan "menggilap" kembali pertuduhan palsu berkaitan isu perkauman.

Istilah ketuanan Melayu cuba dikaitkan dengan beberapa peruntukan yang terjamin dalam Perlembagaan seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Sebarang kritikan terhadap "konsep yang begitu dipolitikkan itu" akan dianggap sebagai suatu gerakan terancang untuk mengkhianati orang Melayu.

Keadaan serupa juga timbul apabila perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikritik. Walhal yang dipertikai adalah tipu-helah elit Umno untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya atas nama Melayu, sedangkan majoriti bangsa sendiri terus dihimpit kemiskinan dan kemelaratan. Apa kena mengena DEB dengan penganugerahan projek kerajaan yang begitu tinggi bidaannya kepada taukeh Melayu berbanding nilai lebih rendah yang ditawarkan pengusaha Cina misalnya? Mengapa khazanah negara mesti dibazirkan hanya untuk memuaskan nafsu serakah kontraktor Melayu kroni penguasa, yang kemudiannya sekadar menyumbangkan sedikit dana politik untuk kempen BN?

Tembelang pemimpin Umno terdedah semasa kempen mereka untuk meminda Perkara 181 Perlembagaan berkaitan imuniti Raja-Raja Melayu. Habis ditelanjang dan diganyangnya "perilaku negatif" sultan tertentu. Timbul pendedahan secara meluas di dada-dada akhbar tentang istana besar, kawasan balak dan gaya hidup mewah mereka. Benar, raja-raja juga tidak terlepas daripada kelemahan dan kesilapan, dan sesiapa pun tidak perlu mempertahankan gaya hidup orang istana yang melampaui batas. Soalnya, apakah kaedah yang dipilih Dr Mahathir Mohamad ketika itu merupakan pendekatan terbaik untuk menyelesaikan konflik?

Ku Li, dalam ucapannya sebagai Presiden Semangat 46, di Kota Bharu, pada 3 Januari 1993 mengulas hal ini: "Istana, kawasan balak dan kontrak diberikan oleh pemimpin Umno. ... Raja-Raja disuap dengan kemewahan supaya mereka lemah dan boleh diheret ke mana-mana. Raja yang lemah boleh diperas ugut bagi menyokong tindakan mereka pula.

Kita ingin tanya, sultan diberi 40 ribu hektar kawasan balak keran ia sultan, tetapi bagaimana pula kisah seorang Cina diberikan 1.5 juta hektar kawasan balak? Bagaimana pula dengan pulau, seperti Pulau Redang, Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Layang-Layang, atau pun bukit, seperti Bukit Bendera, Bukit Kiara dan Bukit Jalil yang diberikan kepada orang tertentu yang tiada kena mengena dengan sultan? Tanyalah kepada pemimpin Umno sendiri, siapakah yang memonopoli hartanah di Selangor dan Wilayah Persekutuan? Pulau-pulau, bukit-bukit dan hartanah ini jauh lebihj besar dan bernilai daripada istana-istana Sultan."

Ironinya, apabila Umno terdesak dan hampir kelemasan, terutama selepas menyedari rakyat mula menolaknya, maka antara yang mahu dipautnya adalah Raja-Raja Melayu. Pakatan Rakyat digambarkan seolah-olah bertindak tanpa adab mengetepikan prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan, termasuk merendah-rendahkan institusi Raja-Raja Melayu. Imiginasi pemimpin Umno dan media di bawah kongkongannya sungguh dahsyat sekali! Benda yang tidak wujud sengaja diada-adakan semata-mata untuk menghasut rakyat, terutama orang Melayu, untuk menolak Pakatan.

Apa pun, saya masih teringat penegasan Najib Razak dalam perhimpunan agung Umno 2010: "Hak orang Melayu dilindungi sepenuhnya serta 'terkunci kemas' dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat ... seandainya mempunyai dua pertiga dalam Parlimen pun, ia tidak akan mampu mengubah setitik apa pun jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan Raja-Raja Melayu."

Jadi, apa yang perlu pemimpin Umno dan Utusan Malaysia sibuk-sibuk sangat mengeksploitasi isu ketuanan Melayu ini, kan?


Sekatan polis, namun ribuan dengar Anwar
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 15 Dis: Walaupun penuh dengan sekatan polis, ia tidak menghalang orang ramai memenuhi kawasan lapang taman Melati dekat sini untuk mendengar sendiri penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya tentang tuduhan terbaru para pemimpin Singapura melalui WikiLeaks.
Dan di majlis itu, Anwar tidak hilang karismanya sebagai pemimpin apabila berkata, “Adakah kamu fikir saya ini bodoh untuk memasuki perangkap apabila tahu ianya perangkap? Jangan cabar saya terlalu berlebihan! Saya akan dedahkan kes pembunuhan yang telah dilakukan dan cuba ditutup rapat.”
“Wikileaks, apa bukti kamu, bawa Lee Kuan Yew ke mahkamah. Saya tidak peduli, kamu fikir saya buat atau tidak. Itu bukan urusan saya. Kamu ada rakaman video atau catatan doctor, bawa ke mahkamah,” kata Anwar disambut tepukan gemuruh para penyokongnya.
Anwar merujuk kepada dakwaan para pemimpin Singapura dan diplomat mereka dalam apa yang dinamakan sebagai pendedahan oleh WikiLeaks melalui media Australia yang antara lain mendakwa Anwar telah diperangkap oleh musuhnya dalam kes sodomi dan Anwar sendiri memasuki perangkap itu.
Walaupun cuba diterangkan oleh para pemimpin Pakatan mengenainya, namun semua media tradisional negara menutupnya. Laporan WikiLeaks juga diambil tentang dakwaan Lee Kuan Yew terhadap Anwar sahaja tetapi laporan tentang pembunuhan Altantuya Shariibuu tidak disiarkan.
Di samping Anwar, turut berceramah adalah anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad, anggota Parlimen Batu Tian Chua, Tan Tee Kwong, Shamsul Iskandar dan juga Teresa Kok.
Tian Chua dalam ceramah itu berkata, pihaknya sedang berusaha supaya laporan WikiLeaks ini dibincangkan di Dewan Rakyat. Satu usul telah dibentangkan bagi membincangkan hal itu.
“Kita mahu Dewan Rakyat bincangkan laporan terhadap Anwar dan juga dakwaan terhadap Najib berkaitan dengan pembunuhan terhadap Altantunya yang juga disebutkan dalam dokumen WikiLeaks ini,” kata Tian.
Siang tadi, peguam Anwar mengumumkan pihaknya akan menyaman Lee Kuan Yew dan juga Tun Dr Mahathir yang berkata beliau yakin pemimpin Singapura itu tahu Anwar melakukan sodomi itu.
Anwar mula menjelajah negara mulai semalam. Esok 16 Disember, Anwar akan berada di Dataran Muhibbah, Kampong Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan dalam siri Ceramah Perdananya sehinggalah 19 Disember ini yang akan berakhir di Pulau Pinang.


Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR,14 Dis: Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan mengenai laporan portal Wikileaks yang mendakwa beliau terlibat dalam skandal pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib tidak boleh bersikap tidak ambil peduli berhubung dakwaan ini kerana ia melibatkan kepimpinan negara dan boleh memberikan kesan kepada sosial dan ekonomi negara.

"Pelbagai dakwaan yang dibuat ini sangat penting kerana membabitkan Perdana Menteri semasa bukan bekas Perdana Menteri. Ini akan memberikan satu kesan kepada ekonomi negara kita.

"Menteri tidak boleh bersikap tidak endah terhadap laporan Wikileaks sedangkan media dalam negara kita mengendahkan laporan wikileaks dengan memuatkan hal-hal berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim tapi Perdana Menteri kata perkara yang berkaitan beliau itu tidak perlu diendahkan," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen siang tadi.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS sebelum itu membangkitkan perkara itu dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar Negeri.

Menteri, Datuk Seri Anifah Aman dalam jawapannya memberitahu beliau akan mengambil perhatian terhadap laporan itu.

Sementara itu, ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, laporan ini mengambarkan seolah-olah Singapura menganggap Perdana Menteri anti Cina apabila membuat dakwaan mengenai kemungkinan berlakunya rusuhan di Malaysia.

"Perdana Menteri diberi gambaran yang begitu berat oleh diplomat dan pemimpin Singapura sehinggakan dalam Perdana Menteri cuba untuk promosi konsep 1Malaysia dan sebagainya, kerajaan Singapura memberi gambaran bahawa akan berlaku rusuhan kaum dan orang Cina akan banjiri Singapura.

"Ini memberi implikasi bahawa Singapura menganggap Perdana Menteri anti Cina sebab akan berlaku rusuhan kaum seperti yang dilaporkan dan ini bercanggah dengan usaha Perdana Menteri untuk menunjukkan semangat perpaduan dan sebagainya. Najib mesti ambil berat atas tuduhan itu," kata beliau.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bimbang laporan ini merupakan permainan Singapura untuk menguji kewibawaan Malaysia.

"Kita lihat pemikiran pegawai risikan dari singapura mereka mengatakan mereka ambil sumber ini dari sumber tertentu. Kita sedar hubungan antara Malaysia dan Singapiura ada pasang surutnya.

"Kita bimbang tindakan singapura ini bertujuan menguji kewibawaan Malaysia dan permainan mereka untuk menyekat pelabur asing ke Malaysia," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memulakan usaha mendapatkan sepenuhnya semua kabel-kabel berhubung Malaysia daripada sumber-sumber yang sah seperti Kedutaan Amerika Syarikat, akhbar Sydney Morning Herald, akhbar The Guardian selain Wikileaks sendiri.

Mereka juga akan membantu memulakan kempen untuk mendapatkan kesemua kabel-kabel ini untuk dinilai secara adilnya oleh rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga pengarah strategik PKR petang tadi ke Kedutaan Singapura bagi menyerahkan memorandum dari PKR kepada kerajaan republik pulau itu.

Baru-baru ini laman web antarabangsa, Wikileaks mendedahkan mengenai maklumat risikan Singapura yang dihantar kepada Australia yang menyatakan Anwar memang melakukan kesalahan tersebut, akibat diperangkap oleh seteru politiknya, meskipun Anwar menyedari tentang perkara itu.

‘Maklumat’ itu yang disiarkan oleh akhbar Australia, Herald Sun (Sydney Morning Herald), menimbulkan kecaman pemimpin Pakatan Rakyat yang menyifatkan pendedahan itu sengaja di ada-adakan tanpa sebarang bukti kukuh.


Harakahdaily
TELOK KEMANG, 14 Dis: Anggota Parlimen Telok Kemang dari PKR, Datuk Kamarul Bahrin adalah pihak yang kalah dalam pemilihan PKR yang lalu namun beliau yakin pemilihan terbuka yang dilakukan PKR itu memberi kesan positif.

Atas sebab itulah, beliau yakin 40 ahli Umno dan MCA dari kampung Telok Pelandok, Port Dickson menyertai PKR baru-baru ini adalah kerana keyakinan mereka kepada PKR.

Kampong Telok Pelandok sebelum ini merupakan kubu kuat Umno-BN, yang mana tidak pernah ada parti lain dapat menembusi kawasan tersebut melainkan BN.
(Gambar: Antara yang daftar sebagai ahli baru PKR)

"Saya melihat perubahan pemikiran serta tindakan rakyat atau penduduk setempat yang telah lama berada di bawah penguasaan BN ini adalah satu langkah yang baik kepada PKR dalam masa kita ingin menghadapi PRU - 13 yang semakin hampir," kata Kamarul dalam satu kenyataan medianya.

Walaupun PKR mempunyai masalah peruntukkan yang tidak disediakan oleh kerajaan persekutuan tetapi aturan kerja dan bakti mereka kepada masyarakat mengatasi segala apa yang dilakukan oleh BN sejak dari mula mereka memerintah, katanya.

Apa yang jelas mereka yang menyertai PKR kali ini adalah mengambarkan kebosanan mereka terhadap BN-Umno yang tidak pernah menepati segala janji yang telah ditaburkan pada PRU yang lepas.

"Saya pasti perubahan yang besar bakal berlaku pada PRU13 nanti terutamanya di Negeri Sembilan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment