Monday, December 20, 2010

CORETANKU 263

PEMERINTAH TAK SUKA PEMBANGKANG ITU BIASA BEGITU JUGA SEBALIKNYA...TAPI JANGAN MENIPU..FITNAH JUGA BERLAKU DOUBLE STANDARD...JADI LAWAK DAN TAK PATUT

Anwar kekal Ketua Pembangkang
Harakahdaily
KEPALA BATAS, 19 Dis: Pakatan Rakyat membuat keputusan melantik terus Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang walaupun beliau digantung selama enam bulan sebagai anggota Parlimen.

Keputusan itu dicapai oleh mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan di bilik VIP Dewan Millenium, serentak dengan perjalanan konvensyen itu.

Keputusan itu diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap membuat ucapan penggulungan di konvensyen Pakatan Rakyat hari ini.

Menurut Abdul Hadi, mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam mesyuarat mereka sekejap tadi telah membuat keputusan mengekalkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang.
"Kita tetap mahukan berketuakan beliau," kata Abdul Hadi yang diiringi tepukan gemuruh para perwakilan dan pemimpin Pakatan yang menyertai konvensyen itu.
Anwar bersama dengan Azmin Ali (Gombak), Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan R Sivarasa (Subang) telah digantung dari Dewan Rakyat selama enam bulan dalam satu sidang yang sangat kontroversi.
Ia berpunca dari pendedahan Anwar bahawa dasar 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Razak, adalah dibuat oleh APCO Worlwide yang juga memcipta 1 Israel.
Ia tidak disenangi oleh Umno kerana APCO dikaitkan dengan agen-agen Yahudi yang berada di dalam syarikat itu.
Peguam Karpal Singh yang turut digantung dalam ucapan penggulungannya memberitahu, beliau akan memfailkan satu tindakan mencabar tindakan ini ke mahkamah tinggi.
Menurutnya, isu di sini adalah mangsa yang digantung tidak didengari pembelaan mereka sebelum diambil tindakan.
"Ini adalah isu mangsa tidak didengari sebelum dijatuhkan hukuman ke atas mereka," kata Karpal dalam ucapannya.
Ini adalah amalan undang-undang Islam dari Pakistan yang diambil oleh orang puteh (Barat), kata Karpal.
Dalam ucapannya juga Karpal berkata beliau akan mempertahankan Islam sebagai agama rasmi di negara ini dan para penganut agama lain bebas untuk mengamalkan agama maisng-masing.
"Saya akan mempertahankan hal ini dan harap PAS juga jaga kami punya muka," kata Karpal Singh.
Beliau juga berkata, akan berbincang dengan pimpinan PAS terutama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi mengenai hal ini untuk tidak memberikan peluang kepada BN untuk mengeksploit isu ini

Mazlan dan Felda bergema di Dewan Millenium
Zulkifli Sulong

Isu Felda sekali bergema di persada politik negara apabila Pengerusi Anak, Mazlan Aliman menjadikan peneroka Felda dan anak cucu mereka sebagai pihak yang perlu diperjuangkan.

Apa yang dikatakan oleh Mazlan penting kerana selain mempersiapkan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum, konvensyen kali ini juga perlu mempersiapkan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya kecil Dun Tenang, Labis, Johor.

Pilihan raya kecil ini perlu diadakan ekoran kematian Adunnya, Datuk Sulaiman Taha baru-baru ini.

Ucapan Mazlan penting kerana di Dun Tenang, lebih 3,000 pengundinya adalah peneroka dan penghuni tiga kawasan Felda di dalam Dun tersebut.

Pelbagai cadangan dikemukakan Mazlan dalam ucapannya kali ini. Ada yang lama dan banyak juga cadangan baru yang dikemukakan beliau.

Yang terbaru adalah cadangan beliau agar sebuah universiti Felda ditubuhkan sebagaimana lain-lain agensi dan badan kerajaan yang mempunyai universiti sendiri termasuklah TNB dan Petronas.

Felda, kata Mazlan, mempunyai kelebihan tersendiri sehingga melayakkannya untuk dibina sebuah universiti. Antaranya mempunyai tanah yang banyak.

"Saya cadang, apa salahnya Felda dibina di bandar pusat Jengka misalnya," kata Mazlan dalam ucapannya itu.

Atas ucapan itulah, nama Mazlan disebut-sebut bakal menjadi calon pilihan Pakatan Rakyat untuk mewakili mereka dalam pilihan raya kecil Tenang tidak lama lagi.

Ketika konvensyen berlangsung, pemimpin utama Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat khas yang jarang-jarang mereka adakan ketika majlis berlangsung.

Mesyuarat yang disertai oleh semua pemimpin PAS, PKR dan DAP dikatakan telah membincangkan beberapa isu penting. Antaranya calon Tenang, kedudukan ketua pembangkang berikutan penggantungan Anwar dan beberapa isu penting lagi.

Nampak jelas, selepas mesyuarat berakhir, wajah mereka berseri-seri tanda kesepakatan dicapai dengan penuh toleransi. Ia diakui sendiri oleh Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail yaang ditemui selepas mesyuarat khas itu.

Kata Saifudin, para pemimpin Pakatan akan mengumumkan beberapa perkara penting ketika ucapan penggulungan mereka penting ini.

Tunggulah nanti pengumuman itu.



Rakyat berubah, BN rebah
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Dis: Pemimpin Umno BN takut berlaku perubahan kerana mereka manusia yang tidak mahu berubah, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.
“Mereka takut rakyat berubah kerana mereka akan rebah. Mereka tidak mahu kepada urus tadbir dengan baik dan telus kerana takut perut mereka kurus,” ujarnya sambil mengucapkan tahniah kepada pimpinan Pakatan Rakyat (PR), urusetia dan peserta Konvensyen Pakatan Rakyat 2010 yang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang telah berjaya dengan jayanya.
Katanya, konvensyen telah berjaya mencapai matlamatnya.
“Harapan pemimpin umno BN dan media BN cuba untuk mengadu domba supaya konvensyen ini gagal seperti Konvensyen BN 5 Disember lalu yang bergaduh fasal Ketuanan Melayu antara Umno, MCA dan Gerakan, Alhamdulillah perkara ini tidak berlaku,” ujarnya.
Katanya lagi, Konvensyen Pakatan Rakyat berakhir dengan baik, pandangan yang bernas daripada wakil yang mewakili parti daripada pimpinan tertinggi hinggalah kepada sayap parti.
Beliau menambah, cadangan yang dicadangkan di dalam konvensyen begitu praktikal untuk dimanfaatkan oleh rakyat.
“Selepas ini kita akan dengar jawapan daripada pemimpin BN yang resah dengan cadangan yang dibuat di konvensyen dengan tuduhan ini hanya angan-angan PR,” katanya.
Sehubungan itu, ujarnya PAS mencabar pemimpin BN memberi peluang kepada PR dahulu dalam masa 100 hari kepada PR untuk membuktikan sama ada janji PR palsu atau angan-angan.
Mereka, tambahnya akan berhujah di mana wang akan diambil untuk diberi kepada rakyat kerana itulah otak pemimpin BN yang lemah dan tidak kreatif untuk manfaat rakyat.
Sebaliknya, kata beliau mereka begitu kreatif macam mana untuk perut mereka dan keluarga mereka.
Untuk itu, menurutnya PAS ingin mengingatkan kepada Umno BN bahawa PR mampu untuk mentadbir negara di mana PAS sudah membuktikan di Kelantan selama 20 tahun mentadbir.
Tambahnya, Kedah di bawah Umno mengalami masalah kewangan, tetapi mampu ditadbir dengan baik selepas 8 Mac 2008.
“Tawaran yang PR berikan kepada rakyat, kami ada asas untuk melakukannya.
“Apabila rasuah kita buang dalam amalan, ketelusan dalam mengurus, insya Allah PR mampu menunaikan semua pada rakyat Malaysia,” katanya lagi.


Mari kita makan kek tolak politik lama
Harakahdaily
KEPALA BATAS, 19 Dis: Konvensyen Pakatan Rakyat hari ini melancarkan program makan kek sebagai simbolik sokongan kepada sekumpulan pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) yang ditangkap kerana memakan bagi membantah pembinaan menara 100 tingkat.

Program yang diilhamkan oleh Nurul Izzah Anwar menyediakan 1600 potong kek untuk dimakan oleh para perwakilan dan pemerhati konvensyen Pakatan Rakyat ke - 2 hari ini.

Mereka memberikan kek itu kepada semua yang hadir dan memita mereka menandatangani petisyen bagi menyokong pelajar Utar yang ditangkap kerana memakan kek tersebut pada 16 November lalu.
Para pelajar tersebut mengadakan majlis makan kek untuk membantah cadangan pembinaan bangunan 100 tingkat namun mereka dianggap bersalah kerana mengadakan majlis makan kek itu.
"Ingat makan kek bukan satu kesalahan," kata Nurul Izzah ketika melancarkan kempen makan kek itu.

Turut serta bersama beliau adalah para pemimpin PAS dan DAP termasuk Dr Dzulkefli Ahmad yang turut memberikan ucapan tanda sokongan beliau kepada kempen itu.

Beliau mengajak semua pihak agar menuju politik baru yang penuh harapan dan pembebasan dan meninggalkan politik lama yang penuh ketakutan dan kelesuan.


Calon PAS wakili Pakatan di Tenang
Harakahdaily
KEPALA BATAS, 19 Dis: Pakatan Rakyat memutuskan calon PAS akan bertanding dalam pilihan raya kecil Dun Tenang, Labis, Johor bagi mewakili Pakatan Rakyat.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan seiring dengan konvensyen itu.

"Saya telah mendapat jaminan dari DAP dan PKR bagi memastikan calon kita menang dalam pilihan raya kecil itu nanti," kata Anwar ketika membuat ucapan penggulungan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Dewan Millenium dekat sini.

Pilihan raya kecil Tenang akan diadakan ekoran kematian Adun Tenang, Datuk Sulaiman Taha baru-baru ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya itu dalam tempoh 60 hari.

Dalam ucapannya juga Anwar mengumumkan, berikutan kejayaan MB Summit baru-baru ini, para menteri besar dan ketua menteri Pakatan Rakyat akan mengadakan sekali lagi persidangan itu akhir Februari tahun depan. Mereka adalah MB Kelantan, Selangor, Kedah dan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pada bulan Mac pula, Pakatan Rakyat telah memutuskan untuk mengadakan Kongres Eokonomi Pakatan Rakyat bagi membincangkan isu-isu ekonomi yang perlu digarap Pakatan





Universiti Felda perlu jadi agenda Pakatan
Mohd Sabri Said
KEPALA BATAS, 19 Dis: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, penubuhan Universiti Felda hendaklah menjadi agenda utama setelah Pakatan Rakyat (PR) diberikan mandat memerintah.
Katanya, Felda yang ditubuhkan oleh kerajaan sepatutnya mempunyai sebuah univesiti sepertimana Petronas, TNB dan seumpamanya.
Lagipun, katanya tidak mustahil Felda yang mempunyai wang yang banyak menubuhkan sebuah univesiti yang mampu meningkatkan pendidikan keluarga peneroka Felda.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula berkata rakyat menjadi miskin demokrasi kerana sikap Umno dan BN yang sering mempermainkan sistem berkenaan.
Justeru, ujarnya bagi melincinkan pentadiran, satu usaha penting harus dicari bagi menambah perancangan yang lebih efisyen.
Program turun padang wajar didahulukan oleh semua jentera akar umbi supaya rakyat tahu kelebihan pemerintahan PR.
“Nampak gayanya BN terpaksa meniru 132 tindakan PR sepertimana memperkenalkan gaji minima, cuti 60 hari dan sebagainya untuk tangani kebencian rakyat pada mereka,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Tambahnya, memandangkan BN asyik menabur janji kosong, maka PR harus mengambil kesempatan memperjelaskan kepada umum tentang penyelewengan yang mereka lakukan.
“BN sebenarnya takut hilang kuasa, maka mereka cuba buat apa saja termasuk tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan,” ujarnya.
Namun pada hakikatnya, kata beliau BN hanya bergantung pada media, wang dan jentera kerajaan.


Terbaik 2008: PAS diterima semua pihak
Harakahdaily
KEPALA BATAS, 19 Dis: Antara kejayaan paling besar pilihan raya umum 2008 adalah apabila PAS telah diterima dengan baik oleh semua kaum di Perak, kata perwakilan DAP, Dr Jayabalan dalam konvensyen ke-2 Pakatan Rakyat hari ini.

Perkara ini berlaku kerana slogan PAS untuk semua dan Malaysia untuk semua telah berjaya berjalan dengan baik.

Beliau berucap sebagai pembahas dalam konvensyen ini.

Sementara itu, wakil dari PKR, Chah Li Kang pula berkata, masa untuk bercakap sudah berakhir kerana sekarang adalah masa untuk bekerja bagi memenangkan Pakatan.

Ini kerana, kata beliau, dasar yang dikemukakan oleh Pakatan jauh lebih baik dari BN. Oleh itu, apa yang perlu dibuat adalah mempastikan dasar ini boleh dilaksanakan dengan bekerja kuat ke arah memenangkan Pakatan.

Beliau mencadangkan, dalam pelaksanaan dasar ini, sebuah Parlimen Pemuda yang bertujuan untuk membincangkan isu-isu di kalangan pemuda di negara ini.

Beliau yakin, pendekatan ini akan membolehkan semua pihak rasa terbela kerana pemuda sangat penting bagi melaksanaan dasar yang baik itu.

Beliau memetik kata-kata bekas Presiden Indonesia, Sukarno yang berkata, "Berikan aku 10 pemuda, nescaya aku akan goncang dunia."

Beliau menolak projek yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu NKRA.

"NKRA sebenarnya bukan National Key Result Area tetapi Najib Kasi, Rosmah Ambil," kata Chah Li Kang.


Ekuti isi rumah ganti ekuiti asas bangsa
Mohamad Zainal Abidin Hussin
KEPALA BATAS, 19 Dis: Reformasi ekonomi terpenting yang bakal diperkenalkan Pakatan Rakyat ialah menukar sasaran daripada ekuiti asas perkauman amalan Barisan Nasional sekarang kepada ekuiti isi rumah untuk semua rakyat.

"Ekuiti asas perkauman seperti diamalkan sekarang telah menyebabkaan penderitaan rakyat kerana pemimpim-pemimpim Umno dan Barisan Nasional menyelewengkan pembahagian ekonomi atas nama kaum untuk suku sakat mereka," kata Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke ketika membentangkan kertas kerja utama Konvensyen Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah memdedahkan Malaysia sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang serius akibat corak pemerintahan yang mengenepikan hasrat rakyat.

"40 peratus rakyat Malaysia sekarang berpendapatan RM1500 sebulan dan berada di bawah paras kemiskinan dan daripada kumpulan ini tiga per empat adalah dari kalangan orang Melayu," katanya.

Lebih parah kata beliau, 34 peratus rakyat negara ini mendapat gaji kurang RM700 sebulan dan dalam keadaan sekarang angka pendapata ini boleh dikategorikan dalam kumpulan miskin tegar.

Anthony turut menyenaraikan tindakan-tindakan yang bakal dilaksanakan Pakatan sebaik diberi mandat mentadbir negara ini.

"Saya mewakili YAB Perdana Menteri kerajaan baru mengumumkan tol dihapuskan, mengembalikan subsidi minyak dan keperluan asas rakyat, Wi-Fi percuma di kawasan bandar dan sub-bandar, menghapuskan penswastaan sektor kesihatan, dan skim satu rumah satu keluarga," kata beliau


Pencuri dibelasah: Kembalilah kepada syariat Islam
http://ahmadfadhli.com.my/
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) melahirkan rasa kesal terhadap beberapa insiden individu yang disyaki pencuri dibelasah sehingga maut yang berlaku akhir-akhir ini.
Sewajarnya kejadian demikian tidak berlaku sekrianya semua pihak menghormati undang-undang dan tidak bertindak mengikut perasaan dan emosi masing-masing. Dari sudut yang lain, DPPNK ingin mengajak semua pihak berfikir kenapakah kes-kes seperti ini boleh berlaku?
Jelas sekali berlaku ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat terhadap hukuman atau punishment yang dikenakan terhadap individu yang terlibat dengan kes kecurian. Banyak berlaku kes di mana mereka yang didapati bersalah dikenakan hukuman penjara dan akan bebas beberapa tahun kemudian seterusnya kembali melakukan jenayah yang sama.
Akur atau tidak, inilah tanggapan yang berlegar di tengah-tengah masyarakat pada hari ini. Hasilnya, tahap ketidakpercayaan terhadap undang-undang menjadi semakin tinggi dan menyebabkan masyarakat mula bertindak mengikut emosi sendiri.
Dalam masa yang sama, kes-kes jenayah khususnya kecurian semakin mencatat peningkatan dari tahun ke tahun yang jelas sekali membuktikan wujudnya suasana tidak tenteram di kalangan masyarakat awam. Individu-individu yang terlibat sebagai penjenayah pula tidak takut untuk melakukan jenayah yang sama berulang kali sekalipun sedar akan dikenakan hukuman sekiranya didapati bersalah.
DPPNK mengajak semua pihak dan kerajaan untuk memerhatikan dengan serius scenario ini. Sudah sampai masanya untuk kembali kepada undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Di dalam kes mencuri, al-Quran telah menetapkan hukuman potong tangan kepada pencuri sebagai pencegahan yang paling berkesan.
Perhatikanlah maksud firman Allah SWT: Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai pencegahan dari Allah. dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Maidah, ayat 3)
Hukuman potong tangan terhadap pencuri tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak sesuka hati melainkan oleh kerajaan yang mempunyai kuasa. Dengan kadar kecurian yang tertentu, ia juga hanya dilakukan setelah melalui proses pengadilan di mahkamah dan perlu dilaksanan di hadapan khalayak ramai. Ini bagi menanam rasa gerun di kalangan masyarakat untuk melakukan jenayah berkenaan. Apa yang paling penting, ia merupakan satu pencegahan daripada Allah SWT.
Hakikatnya, masanya telah tiba untuk memikirkan kembali dengan serius langkah pencegahan yang benar-benar dapat mencegah daripada berlakunya jenayah seperti ini. DPPNK yakin sekiranya semua pihak kembali kepada hukuman yang telah diajar di dalam Islam di samping mempergiatkan aktiviti kesedaran di kalangan warga awam, Insya Allah kes-kes individu yang disyaki pencuri dipukul sampai mati tidak akan berulang di masa-masa akan datang.


Tinggalkan tafsiran sempit perkauman Umno
Mohamad Zainal Abidin Hussin
KEPALA BATAS, 19 Dis: PAS mengajak rakyat Malaysia meninggalkan tafsiran sempit perkauman Umno/Barisan Nasional dan menobatkan prinsip keadilan sejagat demi menyelamatkan masa depan negara.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berucap di majlis pembukaan konvensyen kedua Pakatan Rakyat pagi ini mahu rakyat menolak corak pemerintahan yang telah terbukti mencipta rekod buruk melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan di negara ini.

Islam, kata beliau mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Beliau turut menyelar permainan busuk media yang memutar belit pendirian PAS dan Pakatan Rakyat berhungan Islam dan Bahasa Melayu.

"Sengaja ditimbulkan tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah (dalam isu Melayu dan Islam).

"Hakikatnya kita (Pakatan) telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum," jelas beliau.

Berucap di hadapan lebih lebih dua ribu perwakilan dan pemerhati di dewan Milineum itu beliau mengingatkan para pemimpin dan anggota Pakatan Rakyat supaya sentiasa waspada dengan permainan pihak lawan yang sentiasa cuba menimbulkan keadaan tidak selesa dan perpecahan.

"Semua pihak perlu lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini agar jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang," kata beliau.

Mohd Sabri Said
KEPALA BATAS, 19 Dis: Presiden PAS,Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berharap semua pegawai kerajaan memahami aspirasi Pakatan Rakyat (PR) untuk memerintah Malaysia.
Justeru, katanya PR mesti peka untuk menterjemah tindakan kepada semua pegawai serta rakyat supaya mereka terus mengerti hasrat PR bahawa mereka tetap bekerja di bawah PR apabila perubahan berlaku.
“Biarkan rakyat menghukum BN kerana sikap ego dan zalim terus mewarnai negara ini dengan kenaikan barangan seharian dan petroleum,” ujarnya ketika berucap pada Konvensyen PR kedua di Dewan Millenium, di sini, pagi ini.
Tegasnya, perlu diingat kemaraan PR bukan hanya menafikan kekebalan BN tetapi perlulah memperhebatkan gerak kerja penerangan yang lebih teliti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, PR juga diingatkan memperlebarkan peranan secara menyeluruh dan jangan membiarkan prpgram 'syok sendiri' bermaharajalela sehingga merugikan diri sendiri.
"Jangan jadi untung secupak, rugi segantang sebaliknya bergerak dengan sempurna kerana rakyat tetap memerhati kita," katanya.



Umno lakukan pembunuhan karakter Anwar
Wan Nordin Wan Yaacob
KEPALA BATAS, 19 Dis: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan apa yang berlaku terhadap Ketua Pembangkang dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat 16 Disember di Parlimen lalu sebagai 'pembunuhan karakter' oleh Umno/BN.

Peristiwa ini katanya sama seperti ketika Parti Negara dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar yang mana Allahyarham Onn difitnah oleh pemimpin Umno ketika itu untuk menutup perjuangan bekas pengasas Umno itu, kata Wan Azizah.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 2000 perwakilan sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua dekat sini pagi ini. Sebelum itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyampaikan ucapannya.

Menyambung hujahnya, Wan Azizah berkata, Umno/BN akan terus mematikan perjuangan pembangkang dengan 'pembunuhan karakter' termasuk pada tahun 1964 yang mana Dr Burhanuddin Al Helmy dan Ahmad Boestamam ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dengan pelbagai sekatan, permainan media dan fitnah serta perkauman melampau, Umno/BN akhirnya berjaya melemahkan perjuangan pembangkang, katanya.

Kini ujar Wan Azizah, Umno/BN tersepit setelah Pakatan Rakyat menerajui beberapa negeri termasuk di Perak yang akhirnya dirampas secara 'keji' oleh mereka.

Apa yang mereka (Umno/BN) lakukan, semuanya ditutup oleh media mereka, sebaliknya sedikit kesilapan Pakatan Rakyat akan diperbesarkan, katanya.

Di Parlimen 16 Disember lalu, Umno/BN mengenakan tindakan penggantungan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Azmin Ali (Gombak), Sivarasa Rasiah (Subang) dan Karpal Singh (Bukit Gelugor), katanya.

Penggantungan bukan kerana empat ahli Parlimen tersebut bersalah, sebaliknya kerana memperjuangkan isu pengkhianatan Umno/BN ke atas rakyat dalam isu pelantikan agensi perunding, APCO Worldwide dengan bayaran kontrak RM77 juta, katanya.

Pakatan Rakyat membantah penggunaan khidmat APCO bukan kerana soal kepakaran, sebaliknya kerana agensi itu adalah proksi Israel, katanya.

Namun ujar Wan Azizah, Umno/BN terus menerus menggunakan kuasa yang ada mempertahankan tindakan mereka melantik firma dari Israel itu tanpa memperdulikan suara rakyat.

Baginya, pemimpin Umno/BN hanya leka memperjuangkan kekayaan, memperkayakan kroni dan mempertahan apa sahaja kesalahan mereka meskipun terpaksa membelakangkan undang-undang negara.

Berdasarkan kepada senario yang ada hari ini dengan tekanan ekonomi, sosial yang melampau dan penzaliman yang berlaku, beliau mengajak rakyat bersama Pakatan Rakyat untuk menukar kerajaan yang ada kini kepada sebuah kerajaan yang jauh lebih mementingkan hak rakyat.

No comments:

Post a Comment